Warga Nepal dah beli kereta di sini - Utusan Malaysia

Warga Nepal dah beli kereta di sini

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

APABILA terbaca kilang sarung tangan Top Glove di Klang yang pekerjanya ramai terkena Covid-19, teringat saya dengan sebuah kilang sarung tangan di kawasan Sepang, Selangor. Kejadian ini berlaku sebelum pandemik melanda. Jadi, tak ada istilah penumpang wajib duduk di kerusi belakang lagi.
Selepas menghantar penumpang ke KLIA 2, saya terus keluar dari situ. Malas berlama-lama menunggu barisan dengan pemandu Grab lain untuk mengambil penumpang dari sana pula.
Tiba-tiba masuk satu Ping. Lokasinya di kilang sarung tangan. Tak jauh sangat, di pekan Salak Tinggi. Sampai di lokasi pick up, belum nampak bayang penumpang. Nama yang tertera agak pelik, jadi saya simpulkan mesti warga asing. Betul tekaan saya. Tak sampai lima minit, datang empat jejaka berwajah Nepal. Dalam hati saya berkata, ‘alah, ni mesti tinggalkan bau tak enak. Kena sembur perfume dengan selepas mereka turun,’ getus hati saya.
Saya nampak mereka bercakap-cakap sebentar dan memandang ke arah saya. Rupanya seorang sahaja yang naik. Penumpang itu masuk dan duduk di sebelah saya. Cerah kulitnya dan manis jua wajahnya. Tapi muka dia bukan macam Nepal.
Hensem, bisik hati kecil saya. Saya bertanyakan dia dari mana. Dia jawab dari Nepal. “Tapi muka awak tak macam orang Nepal,” kata saya.
“Betul, orang ingat saya bukan Nepal. Dah banyak kali orang cakap macam ini. Agaknya muka saya dah menjiwai muka orang Melayu,” katanya tersenyum.
Ternganga sekejap saya. Punyalah fasih dia cakap Melayu, langsung tak ada pelat Nepal.
“Berapa lama tinggal di Malaysia sampai fasih cakap Melayu?” tanya saya curiga.
“Baru enam tahun. Tapi kawan-kawan di kilang ramai Melayu. Mudah saja nak belajar,” katanya.
Kebetulan saya pernah pergi dua kali ke Nepal atas tujuan mendaki di Everest Basecamp (EBC) dan Annapurna Basecamp (ABC), saya pun bercerita dengan mudah lokasi di negaranya yang saya pernah jelajahi. Saya memang suka Nepal yang unik dan ada banyak kawasan pergunungan cantik.
“Kenapa tak jadi porter, angkat barang orang mendaki gunung?” tanya saya.
“Kerja itu teruk. Saya bukan datang dari kawasan gunung, jadi fizikal saya tak cukup kuat jadi porter. Mereka itu asal dari kawasan pergunungan dan biasa dengan cuaca sejuk,” kata jejaka tersebut.
Tiba-tiba dia berkata,” Ini kali pertama naik Grab perempuan yang bawa. Awak memang bawa Grab sepenuh masa?,” tanyanya lagi. Ya, jawab saya.
“Hati-hati. Ramai orang jahat sekarang ini. Eloklah awak jangan kerja sampai malam, bahaya untuk orang perempuan,” kata pemuda ini.
Saya tersengih. Amboi, sweetnya kau. Bukan main lagi caring. Apabila hampir sampai di destinasi, saya tanya, nak beli barang ke jauh-jauh pergi ini?
“Taklah, kereta saya rosak masuk bengkel. Saya nak ambil kereta sebab dah siap,” katanya.
Wah! Sampai ada kereta kau di sini ya.
“Kereta biasa-biasa saja. Beli pun murah. Jadilah. Mana tahu ada jodoh dengan orang Melayu. Senang nak balik kampung,” katanya tersengih.
Amboi, tinggi angan-angan ya, getus hati saya sambil menadah tangan menerima duit tambang.
“Baki awak simpanlah. Moga dapat banyak penumpang hari ini ya,” katanya tersenyum. Dan saya berlalu dari selepas memberikan senyuman paling lebar dan semanis gula! – Mingguan Malaysia

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya