Usah biar pesawah terus miskin - Utusan Malaysia

Usah biar pesawah terus miskin

MASALAH banjir ketika musim penanaman adalah antara isu yang sering dihadapi pesawah. – GAMBAR HIASAN/UTUSAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SAUDARA PENGARANG,

SEJAK lebih 10 tahun lalu, pesawah di kawasan jelapang padi negara yang dikelolakan oleh Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (MADA) di Kedah dan Perlis mengeluh berikutan sumber pendapatan mereka terjejas teruk akibat pelbagai masalah.

Boleh dikatakan setiap kali musim penanaman bermula, pesawah berhadapan isu bekalan benih padi tidak mencukupi dan kurang berkualiti. Selepas itu, berlaku pula masalah banjir dan kekurangan bekalan air serta ancaman makhluk perosak.

Bila tiba musim menuai, hasil merosot akibat buahnya tidak berisi menjadi hampa dan masalah padi angin yang mudah terlerai daripada tangkai. Malah terdapat juga kejadian pokok-pokok padi musnah dilanda ribut.

Ada beberapa kawasan tidak mempunyai kemudahan sistem saliran sempurna menyebabkan sawah kering kontang dan apabila hujan lebat, air tidak dapat mengalir keluar.

Kesan daripada masalah ini ialah sumber pendapatan pesawah berkurangan dan tidak berbaloi dengan kos yang mereka keluarkan. Walaupun isu ini sudah lama berlarutan, namun sehingga kini pihak berkuasa masih gagal mengatasinya.

Saya amat kesal kerana pesawah yang menjadi pembekal makanan untuk keperluan rakyat seperti diabaikan tanpa pembelaan sewajarnya sehingga terjemus ke jurang kemiskinan. Janganlah sampai nasib pesawah umpama ayam di kepuk mati kelaparan.

Kementerian Pertanian dan Industri Makanan, jabatan serta agensi berkaitan perlu turun padang dan memberi perhatian serius terhadap masalah-masalah yang dihadapi oleh pesawah.

ZULKIFLI YUSUF
Bayan Baru, Pulau Pinang

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN