SAUDARA PENGARANG,
Kempen Beli Barangan Malaysia merupakan antara alternatif terbaik dalam membantu perusahaan kecil dan sederhana (PKS) untuk terus kukuh walaupun terpaksa berdepan ketidaktentuan ekonomi.
Penjenamaan semula kempen ini (sebelum ini dikenali Kempen Beli Barangan Buatan Malaysia) bertujuan menggalakkan pengguna membeli barangan buatan tempatan, sekali gus membantu pengusaha dalam menghadapi pertumbuhan ekonomi kurang memberangsangkan.
Jika dilihat sebelum ini apabila rakyat bergabung menyatakan sokongan terhadap produk tempatan, ia berjaya membantu melariskan dan meningkatkan perniagaan mereka sekali gus lebih dikenali.
Oleh itu, beberapa penambahbaikan perlu dilakukan termasuk cara memasarkan sesuatu produk supaya perniagaan mereka dikenali di seluruh negara.
Walaupun kebanyakan peniaga menyatakan pasaran mereka terhad, jika dilengkapi pakej pemasaran yang baik seperti jenama dan pembungkusan, tidak mustahil produk anak tempatan mampu melangkah jauh termasuk memasuki pasaran antarabangsa.
Oleh itu, peniaga PKS perlu didedahkan dengan teknik yang betul untuk berniaga sama ada menjalankan perniagaan secara fizikal atau dalam talian.
Kursus khas harus diberikan terutama kepada peniaga di luar bandar yang kurang terdedah kepada teknologi dalam memasarkan produk mereka.
RABIAH ISA
Perlis