SAUDARA PENGARANG,
PANDEMIK Covid-19 mempercepatkan proses penerapan Revolusi Perindustrian Keempat (IR 4.0) ke dalam masyarakat apabila manusia dilihat semakin bergantung hidup kepada robot.
Oleh itu, apakah kaedah pendidikan ibu bapa bagi memastikan anak-anak generasi hari ini dapat bersaing dengan robot pada masa hadapan?
Untuk bersaing dengan robot, ibu bapa perlu menerapkan kemahiran 4C, iaitu courage (keberanian), communication (komunikasi), creativity (kreativiti) dan critical thinking (pemikiran kritis) kepada anak-anak.
Anak-anak perlu berani dan bijak dalam membuat keputusan. Latih mereka untuk membuat keputusan sendiri sejak dari kecil. Berilah anak-anak kebebasan membuat pilihan dalam perkara tertentu seperti baju apa yang ingin dipakai.
Kemahiran berkomunikasi dilihat antara kemahiran lain yang sangat penting untuk dikuasai anak-anak bagi memudahkan mereka menyatakan idea dan memberi cadangan.
Dalam pada itu, ibu bapa perlu bijak dalam membina suasana di rumah supaya anak-anak bebas mereka cipta sesuatu yang menarik setiap hari bagi merangsang kreativiti.
Kemahiran pemikiran kritis pula akan memudahkan anak-anak menyelesaikan masalah dan membuat keputusan yang menjadi keperluan bagi kebanyakan pekerjaan.
AZLINA JUMADI
Universiti Teknologi Mara Cawangan Johor
Kampus Segamat