SAUDARA PENGARANG,
KEMPEN derma darah kali pertama dianjurkan St. John Ambulans Malaysia (SJAM) dengan kerjasama Tabung Darah Hospital Tuanku Fauziah, Kangar mendapat sambutan menggalakkan dengan penyertaan 163 penderma.
Pemangku Pengerusi SJAM Perlis, K. Kunasegaran berkongsi berita gembira itu apabila program yang dianjurkan selama dua hari secara serentak di beberapa negeri seperti Kuala Lumpur, Selangor, Melaka, Johor, Pulau Pinang dan Perlis berjaya mengumpulkan 2,088 beg darah.
Kempen ini diharap dapat membantu Pusat Darah Negara menampung bekalan darah bagi menyalurkannya kepada mereka yang memerlukan.
Dalam pada itu, sebanyak 12 mahasiswa Kelab Chapter Perlis, Universiti Utara Malaysia turut membantu sebagai urus setia dan bertindak menghebahkan kempen derma darah kepada masyarakat sekeliling.
Presidennya, Muhammad Zulhelmi Idzan memaklumkan, ahli kelab bersedia untuk meneruskan program tersebut pada masa akan datang sekiranya perkhidmatan mereka diperlukan.
SAMSUDIN OLI MOHAMED
Kangar, Perlis