Siapa wanita misteri itu? - Utusan Malaysia

Siapa wanita misteri itu?

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KOLUM SERAM

Ada sebuah kisah seram dan misteri yang diceritakan oleh seorang jururawat bernama Aishah yang bertugas di salah sebuah hospital terkemuka di ibu kota. Cerita ini khabarnya berlaku kepada dua petugas yang membawa pulang jenazah ke kampung halaman si mati di utara tanah air. Begini ceritanya.
Tiga minggu lepas, Hamid dan pembantunya Razif diminta untuk membawa pulang jenazah seorang wanita yang meninggal dunia di hospital tempatnya bekerja untuk disemadikan di kampung halamannya.
Tanpa banyak soal mereka menjalankan tugas yang diberi, lagipun sebelum ini mereka sudah biasa menghantar jenazah ke merata tempat.
Sejujurnya selama ini mereka tidak ambil tahu pun jenazah siapa yang dibawa kerana kebiasaannya urusan tersebut diuruskan oleh waris si mati dan pihak hospital. Tugas mereka hanya hantar sahaja, asalkan jenazah tersebut selamat sampai ke destinasi!
Cuaca cukup cerah dan tenang ketika mereka bertolak dari hospital tengahari itu, namun bila van yang mereka naiki melepasi bandar Taiping, tiba-tiba mula hujan dengan lebatnya.
Hamid memandu perlahan, maklumlah jalan kampung. Takut pula kalau apa-apa yang tidak diingini berlaku.
Ketika sedang khusyuk memandu, tiba-tiba Hamid perasan ada seorang wanita tua sedang berjalan dalam hujan lebat itu.
Pakaiannya sedikit basah walaupun dia memakai payung. Lantas Hamid memperlahankan kenderaannya.
“Zif, kau buka tingkap sedikit dan pelawa wanita itu naik. Kasihan pula aku tengok, nanti tak pasal-pasal basah lenjun pula dia dalam hujan itu,” kata Hamid kepada Razif.
Sebaik sahaja tingkap diturunkan, Razif lantas mempelawa wanita tersebut menaiki van yang dipandunya.
“Assalamualaikum kak. Kak nak tumpang? Kalau nak tumpang boleh kami hantarkan. Hujan lebat ini. Tapi kalau kak nak tumpang kena duduk belakang sebelah jenazah tu. Kak berani ke?” tanya Razif lagi.
Wanita tersebut mengangguk tanda setuju. Kelam kabut Razif turun dan membantu membuka pintu kenderaan untuk memberi wanita tersebut masuk.
“Maaf ye kak. Harap-harap kak jangan takutlah. Kami ini lain, dah biasa dengan jenazah,” sambung Razif sambil tertawa kecil.
Wanita tersebut hanya tersenyum mendengar celoteh Razif.
“Nanti kalau dah nak sampai, kak beritahu ya,.” kata Hamid sambil sesekali menjeling ke arah wanita tersebut yang sedang asyik mengelap pakaiannya dengan selendang yang dipakainya.
Beberapa kali juga Hamid dan Razif cuba bersikap ramah sambil bercerita pelbagai topik, namun wanita tersebut lebih banyak tersenyum daripada membalas setiap pertanyaan mereka.
Setelah hampir lima minit perjalanan akhirnya wanita tersebut mengarahkan Hamid untuk berhenti.
“Hah, saya dah sampai. Rumah saya dekat belakang kedai runcit itu saja. Terima kasih ya sebab sudi tumpangkan saya,” kata wanita tersebut sambil melangkah keluar dari van.
“Alhamdullillah. Hujan pun sudah berhenti. Jalan baik-baik ya kak, ” kata Hamid sambil kakinya perlahan-lahan menekan pedal brek.
“Dekat sini rupanya rumah kak. Kalau macam itu dekat sajalah dengan rumah jenazah yang kami hendak hantar ni. Rumah arwah ni pun sebelah itu saja. Kak kenal ke dengan arwah ni? Tanya Razif sedikit ramah.
Wanita tersebut tidak menjawab. Dia sekadar tersenyum sambil mengangguk perlahan.
Setelah mengucapkan selamat tinggal, Hamid meneruskan pemanduan. Memang rumah wanita tersebut tidak jauh dengan rumah jenazah yang ingin mereka hantar. Rasanya lebih kurang 300 meter sahaja jaraknya.
Ketika itulah segalanya bermula. Sebaik sahaja jenazah tersebut dibawa masuk ke dalam rumah beberapa orang waris dan ahli keluarga arwah lantas membuka kafan yang menutupi wajah arwah untuk tatapan terakhir mereka sebelum dikebumikan malam nanti.
Jantung Hamid dan Razif berdegup kencang. Mata mereka terpaku ke arah wajah jenazah yang baru dibuka ketika itu. Memang sah wajah jenazah tersebut tidak ubah seperti wajah wanita yang menumpang kenderaan mereka tadi.
Tubuh Razif menggigil perlahan. Dia seolah tidak percaya dengan apa yang dilihatnya ketika itu.
Rasanya ingin sahaja dia berlari keluar dari rumah tersebut, namun dia masih berfikiran waras. Dilihatnya wajah Hamid juga berubah pucat sepertinya.
Tidak menunggu lama, sebaik sahaja selesai menguruskan jenazah tersebut dan menyerahkan barang-barang peribadi milik arwah dari hospital, Hamid dan Razif terus meminta diri untuk pulang. Mereka tidak mahu lagi menunggu lama.
Sekali lagi perkara menakutkan berlaku. Sebaik sahaja Hamid ingin menghidupkan enjin kenderaan mereka berdua terpandang seorang wanita yang berdiri di pintu dapur sedang tersenyum sambil melambaikan tangan seolah mengucapkan selamat jalan kepada mereka.
Pucat lesi muka mereka berdua kerana wanita separuh umur yang mereka lihat ketika itu adalah wanita yang menumpang kenderaan mereka di dalam hujan tadi, atau pun dengan erti kata lain itulah wanita yang menyerupai jenazah yang mereka bawa dan letakkan di atas rumah itu.
Dengan jelas mereka dapat melihat wajah wanita tersebut yang nampak bersih sambil tersenyum ke arah mereka seolah-olah sedang mengucapkan terima kasih kerana ‘membawanya’ pulang ke rumah.
Dengan wajah pucat lesi Hamid pantas menolak gear dan memecut pergi dengan wajah pucat lesi. Bulu roma mereka berdiri tegak.
Sepanjang perjalanan pulang mereka hanya banyak mendiamkan diri. Peristiwa yang berlaku itu benar-benar meninggalkan seribu persoalan buat mereka.
“Bang.. rasa-rasanya wanita yang kita jumpa tadi itu siapa agaknya ya? Roh si mati ke atau…? Tanya Razif dengan wajah yang sedikit pucat.
Hamid tidak menjawab. Dia sendiri tiada jawapan. Apa yang ada di fikirannya ketika itu hanyalah ingin pulang ke rumah. Badannya juga sudah mulai panas terasa seperti hendak demam. –Mingguan Malaysia

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya