SAUDARA PENGARANG,
PELUANG mahasiswa untuk bertanding dan memegang jawatan di universiti bukan sahaja memenuhi penstrukturan ketika melanjutkan pengajian, malah mereka seharusnya sedar peluang yang diberikan untuk memimpin kelab, persatuan atau Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) perlu dilakukan dengan penuh tanggungjawab dan amanah.
Saya sebagai mahasiswa universiti di Sintok, Kedah ingin mengajak rakan-rakan IPT agar lebih bersedia dan mengambil peluang untuk berusaha sebaik mungkin dalam merancang, melaksana dan memandu MPP sebagai landasan sementara sebelum mengambil amanah sebagai pemimpin masyarakat di luar sana.
Senario suara generasi muda sejak akhir-akhir ini yang mahukan belia diberi peluang menjadi pemimpin dari peringkat bawah sehingga menteri merupakan isyarat agar mereka lebih bersedia untuk mengalasnya.
Oleh itu, sebagai mahasiswa, rebutlah peluang ini. Bukan setakat mengejar segulung ijazah tetapi sebagai pemimpin negara nanti.
Generasi muda menjadi pemangkin kepada kemajuan rakyat dan negara. Oleh itu, peluang yang diberikan perlu diterokai dengan telus dan rakan-rakan yang memberi sokongan perlu kita membalas dengan sejuta kebaikan demi agama, bangsa dan negara.
Sekiranya ketika penemuduga bertanyakan pengalaman ketika memohon pekerjaan walaupun baru sahaja bergelar graduan, dengan penuh yakin ceritakanlah ketika memegang jawatan dan melaksanakan program-program di universiti.
Buktikan pengajian yang dipelajari sehingga berjaya bergelar graduan dengan skil komunikasi yang ditimba sesungguhnya melahirkan graduan berketrampilan tinggi.
FAROUK BAKI ZAHID
Pelajar Sarjana Kewangan dan Perbankan Islam
Universiti Utara Malaysia