Rupa-rupanya bilik aku berhantu ... - Utusan Malaysia

Rupa-rupanya bilik aku berhantu …

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Usai urusan daftar masuk di kaunter, Siti bergegas menaiki lif untuk menuju ke biliknya. Sebaik sampai di tingkat 13, dia lantas menarik bagasi kecilnya sambil matanya liar memerhati nombor tertera di kiri kanan pintu bilik sepanjang laluannya ketika itu.
Dia berhenti sebaik sahaja sampai di sebuah bilik di hujung koridor. Lantas dia memasukkan kad kecil yang dipegangnya di lubang tombol pintu. Setelah lampu hijau bernyala tanda akses diterima, terus ditolaknya pintu tersebut.
Siti menghela nafas lega. Dia merebahkannya tubuh ke katil. Baru sahaja dia ingin melelapkan mata barang seketika, telefon bimbitnya berbunyi. Bergegas dia capai telefon di meja solek dan menjawab panggilan.
“Hah, aku sampai dah. Baru dalam setengah jam ini tadi. Okey, dalam satu jam lagi kau tunggu aku dekat lobi. Kasi aku mandi dan keluarkan barang-barang dari beg dahulu,” jawab Siti.
Siti mengeliat malas. Dia jeling jam di dinding. Sudah hampir pukul 5 petang. Dia mengomel sendirian. Baru sahaja dia ingin berehat, tiba-tiba rakan setugasnya, Mimi pelawa dia makan malam sebentar lagi. Lantas Siti keluarkan pakaian dari beg dan mencapai tuala untuk ke bilik mandi. Selesai menukar pakaian Siti bersolek ala kadar sebelum turun ke bawah.
Ikutkan hati memang dia malas hendak turun apatah lagi perutnya masih kenyang, namun bila fikirkan yang Mimi memang menanti kedatangannya sejak semalam terus sahaja dia setuju. Rasa tak manis pula kalau dia menolak ajakan temannya itu.
Mereka sebenarnya bertugas di tempat kerja yang sama di Kuala Lumpur, tetapi Mimi datang dua hari awal kerana dia melakukan kerja-kerja logistik dan survey. Esok syarikatnya akan mengadakan program hartanah bersama pelanggan di salah sebuah pasar raya terkenal di sini.
Siti dan beberapa pekerja lain yang bertugas sebagai Eksekutif Pemasaran baru sahaja sampai hari ini kerana esok mereka akan memulakan tugas secara rasmi. Begitulah rutin kerjanya sebelum ini, malah kerja di luar daerah juga sudah menjadi perkara biasa buat dirinya.
Ketika ingin melangkah keluar, Siti memeriksa setiap suis lampu di biliknya. Dia berasa pelik kerana walaupun hampir semua lampu terpasang namun cahayanya kurang terang. Masih kelam dan berbalam-balam. Namun dia cuba berfikiran positif. Fikirnya mungkin memang begitu reka bentuknya, tambah pula lampu di biliknya hanya terletak di sudut dinding sahaja.
Sebaik sampai di lobi. Di lihatnya Mimi sudah sedia menunggu. Setelah berbincang akhirnya mereka ambil keputusan untuk menjamu selera di medan selera yang terletak di seberang jalan.
“Petang ini kita makan di sini sajalah ye. Esok barulah kita makan dekat hotel. Lagi pun masakan di hotel bukannya sedap sangat,” kata Mimi sambil ketawa. Siti tersenyum mendengar ngomel rakannya. Dia juga berfikiran sama seperti Mimi. Memang kalau outstation pun dia jarang makan di hotel kerana tidak kena dengan seleranya.
“Eh, bilik kau macam mana? Okey? Kita orang dah survey banyak hotel, tapi semua penuh. Nasib baiklah di sini masih banyak bilik kosong lagi,” jelas Mimi panjang lebar.
“Bilik cantik, privacy…confirm aku tidur lena malam ini,” kata Siti tersengih.
Setelah memesan hidangan mereka berbincang sedikit tentang program yang bakal diadakan esok.
“Eh, cepatlah habiskan makanan ini. Dah nak Maghrib ni. Aku nak tidur awal sikit malam ni, maklumlah esok sehari suntuk dah busy dengan program,” kata Siti. Mimi tersengih sambil menghabiskan baki makanan di pinggannya.
“Okey, jumpa esok beb,” kata Mimi sambil keluar dari lif. Siti mengangguk. Lantas dia menutup pintu lif dan menuju ke tingkat 13.
Sebaik pintu lif terbuka, Siti melangkah menuju ke biliknya. Dia menoleh jam di tangan. Sudah hampir 7.30 malam. Dia memandang ke arah laluan koridor yang kosong di hadapannya.
Entah kenapa dia rasa seperti ada sesuatu yang tidak kena. Selain sunyi, dia juga pelik kerana tidak bertembung dengan sesiapa di tingkat penginapannya. Adakah dia seorang sahaja menginap di tingkat 13 ini?
Sebaik masuk ke bilik lantas dibukanya semua lampu. Dia memandang sekeliling. Hatinya berasa sungguh tak sedap. Matanya liar memandang sekeliling. Akhirnya dia capai tuala dan terus menuju ke bilik mandi untuk mencuci muka.
Tiba-tiba darahnya tersirap. Jantungnya berdebar kencang. Langkahnya untuk menuju ke bilik mandi tiba-tiba terhenti. Matanya tertumpu ke arah sudut kecil berhampiran katilnya.
Jelas kelihatan sebiji bola tenis yang entah dari mana datangnya sedang melantun-lantun di situ. Seolah-olah ada seseorang sedang bermain dengannya. Siti kaget. Dia jeling ke arah pintunya yang tertutup rapat.
Tup..tup..tup..tup…tup.. bola tenis berwarna hijau tersebut masih melantun-lantun di hadapannya. Siti menggigil ketakutan.
Jantungnya sekali lagi berdegup kencang bila televisyen yang berada di hadapannya terpasang sendiri. Dengan sedikit kekuatan yang ada dia terus mencapai telefon bimbitnya di katil dan berlari keluar.
Sedang dia bergegas menuju ke lif yang berada hampir seratus meter di hadapannya, Siti perasan bola tenis di biliknya tadi turut keluar sama bergolek dari pintu terbuka. Dengan wajah pucat lesi Siti menekan butang lif bertalu-talu. Dia berdoa agar pintu lif cepat terbuka dan dapat beredar dari situ secepat mungkin.
Siti bergegas masuk sebaik pintu lif terbuka. Di tekannya butang bertalu-talu agar cepat sampai di tingkat penginapan Mimi. Dia sudah tidak mampu berkata apa, peluh sudah lenjun membasahi tubuhnya. Sebaik lif sampai di tingkat lima, Siti bergegas keluar dan menelefon Mimi.
Mimi yang tahu ada yang tidak kena dengan rakannya lantas keluar menunggu di laluan biliknya. Dia menjerit sebaik ternampak Siti. Terus Siti berlari mendapatkan rakannya sambil menangis teresak-esak.
Telan air liur Mimi bila mendengar cerita Siti. Malam itu Siti tumpang tidur di biliknya. Dia masih tidak berani untuk naik ke biliknya di tingkat 13. Malam itu dia memang tidak boleh lelapkan mata. Fikirannya terbayang tentang apa yang terjadi sebentar tadi. Patutlah di tingkat bilik penginapannya tidak ada seorang pun yang menyewa, rupa-rupanya bilik di situ berhantu! – Mingguan Malaysia.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya