SAUDARA PENGARANG,
KEPRIHATINAN kerajaan terhadap belia terutama ketika penularan pandemik Covid-19 amat dipuji memandangkan golongan muda merupakan antara yang terkesan akibat hilang sumber pendapatan dan sukar mendapat pekerjaan.
Langkah kerajaan memperkenalkan Program Usahawan Anak Muda Kota Wilayah Persekutuan amat bertepatan dalam usaha menggalakkan belia mencari pendapatan. Pada masa sama mengurangkan kadar penggangguran di Kuala Lumpur.
Program yang menyasarkan 2,000 usahawan dalam tempoh dua tahun diyakini dapat membantu belia meneruskan kehidupan di bandar.
Melalui kadar sewa antara RM100 hingga RM2,000 sebulan dan ditawarkan potongan sebanyak 50 peratus untuk tahun pertama, sudah pasti meringankan beban mereka untuk memulakan perniagaan.
Oleh itu, golongan belia yang terjejas atau berminat untuk menjadi usahawan bolehlah merebut peluang melalui inisiatif Wilayah Prihatin segera. Sebanyak 1,026 ruang perniagaan seperti kiosk disediakan di lokasi strategik di ibu kota.
Kerajaan sudah membuka jalan untuk membantu belia. Mereka hanya memerlukan produk dan keberanian untuk menceburi bidang perniagaan.
Diharap golongan belia dapat memanfaatkan inisiatif ini ke arah kebaikan untuk memajukan diri bukan hanya pada masa pandemik, malah menjadi kerjaya selain mendatangkan pendapatan yang lumayan.
KHAIRUNISSA TAHAR
Kuala Lumpur