SAUDARA PENGARANG,
SAYA ingin memberi pandangan terhadap tulisan Noor Mohamad Shakil Hameed bertajuk Mampukah anak muda warisi negara? dalam Utusan Malaysia pada 3 Disember lalu. Beliau menyokong cadangan Kementerian Pertahanan untuk melaksanakan semula Program Latihan Khidmat Negara (PLKN) yang dimansuhkan pada 2018.
Tujuan asal penubuhan PLKN berikutan retaknya perpaduan dalam kalangan masyarakat. Jadi, untuk memupuk perpaduan, kerajaan memperkenalkan PLKN dengan harapan dapat merapatkan hubungan anak muda lepasan sekolah menengah.
Bagaimanapun, selepas berjalannya program ini, tiada rekod sebagai bukti sejauh mana anak muda yang mengikuti PLKN telah mengikut acuan yang ingin dibentuk oleh kerajaan.
Oleh itu, cadangan untuk memperkenalkan semula PLKN dengan jenama baharu dan modul lebih mantap dirasakan kurang sesuai kerana bagi membentuk perpaduan, memerlukan masa panjang, bukan tiga bulan seperti mana telah dibuat. Kos operasi PLKN sahaja menelan belanja kira-kira RM30 juta setahun, seolah-olah satu pembaziran pula.
Sebenarnya, langkah memupuk perpaduan sudah ada dalam sistem pendidikan melalui Falsafah Pendidikan Negara dan Pelan Pendidikan Kebangsaan yang dilaksanakan dalam beberapa fasa.
Jadi, tidak perlulah PLKN dilaksana semula dan didiklah generasi muda melalui sistem pendidikan formal sedia ada.
ABDUL HAMID
Temerloh, Pahang