Perkenal kurikulum relevan sahaja - Utusan Malaysia

Perkenal kurikulum relevan sahaja

PERKEMBANGAN IR 4.0 turut memberi impak kepada kaedah periklanan dan pemasaran masa kini. - GAMBAR HIASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SAUDARA PENGARANG,

Perkembangan teknologi yang pesat di seluruh dunia dilihat menjadi antara punca jumlah pengangguran meningkat.

Ini kerana Revolusi Industri 4.0 (IR 4.0) banyak mengambil alih kerja-kerja yang sebelum ini dilakukan oleh manusia kepada mesin dan komputer.

Pada Julai lalu, Ketua Perangkawan, Datuk Seri Dr. Mohd. Uzir Mahidin melaporkan, kadar pengangguran di Malaysia meningkat kepada 5.3 peratus pada Mei lalu dengan jumlah penganggur sebanyak 826,100 orang.

Berdasarkan jumlah tersebut tidak mustahil angka itu terus meningkat memandangkan banyak industri menggurangkan tenaga pekerja dan menggantikannya dengan mesin sedangkan pada masa ini, ramai mahasiswa yang menganggur dan tidak boleh memenuhi tuntutan industri.

Sehubungan itu, Kementerian Pengajian Tinggi harus mengenal pasti kurikulum yang disediakan serta kursus yang ditawarkan di peringkat universiti dan kolej adalah relevan dan mampu mengisi ruang pekerjaan yang diperlukan oleh pihak industri pada masa akan datang. Ini bagi membolehkan graduan diterima bekerja, tidak kira dalam sektor kerajaan atau swasta.

Keutamaan harus diberikan dalam menyediakan program upskilling (menambah kemahiran) dan reskilling (melatih semula) termasuk Latihan dan Pendidikan Teknikal dan Vokasional (TVET) sejak di peringkat pengajian lagi supaya peluang mendapat pekerjaan lebih besar.

Bagi kursus-kursus yang dilihat tiada peluang pada masa depan, haruslah digugurkan bagi mengelak kerugian dari segi tenaga pengajar, sekali gus dapat mengurangkan kadar penggangguran.

Semasa Maszlee Malik memegang jawatan Menteri Pendidikan, beliau telah menyarankan negara memerlukan pelbagai jenis kepakaran untuk menghadapi bidang-bidang baharu dalam menghadapi era IR 4.0. Justeru, anak-anak perlu dilengkapi dengan teknologi itu.

Kementerian Pengajian Tinggi juga disaran menjalin kerjasama rapat dengan Kementerian Sumber Manusia dalam usaha mengenal pasti sektor ekonomi yang memiliki peluang cerah untuk diperkembangakan melalui bakat dan kelebihan graduan pada masa ini dan masa depan.

Ini penting bagi Kementerian Pengajian Tinggi mendapat pandangan dan bantuan daripada pemain industri untuk merangka kurikulum dan membuat penilaian supaya program yang ditawarkan menepati kehendak industri, sekali gus meningkatkan kebolehpasaran graduan tempatan.

ALI FADLI
Selangor

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya