Oleh Irfan Shaharuddin
Peralihan zaman yang mencabar memberi tamparan hebat kepada pengamal sastera dan ilmuan dalam usaha menyebarkan kepentingan sastera kepada masyarakat. Perkembangan teknologi maklumat di Malaysia sejak pertengahan 1990-an menjadikan rakyat kita saling terhubung dengan maklumat yang pelbagai.
Hal ini juga memberikan cabaran dalam mewujudkan bentuk sastera baharu yang dapat dinikmati khalayak.
Apa yang lebih penting dalam dunia kini adalah menjadikan rakyat menghargai seni itu terlebih dahulu sebelum mengajarkan mereka kepentingan menghargai sastera.
Seni merupakan konsep yang luas ini pada dasarnya menunjukkan kita akan keindahan nilai pada setiap perkara dan bukan sahaja terhad pada sastera, malah lukisan, filem, muzik dan bentuk-bentuk seni lain.
Dalam pelbagai bentuk seni, saya merasakan bahawa filem merupakan bentuk seni yang paling menonjol dan relevan sehingga kini.
Sekali pun kewujudan penstriman video secara dalam talian seperti Netflix menjadi popular dalam kalangan khalayak filem, namun kegiatan penontonan filem di wayang masih menjadi tarikan utama dalam kalangan golongan belia.
Hal ini juga diakui oleh seorang pengarah filem terkenal dari Sweden, Ingmar Bergman iaitu “No form of art goes beyond ordinary consiousness as film does, straight to our emotions, deep into the twilight room of the soul.”
Maka, menghubungkaitkan fungsi filem sebagai medium popular dan interaktif dan sastera sebagai teks media yang mengandungi makna atau semiotik adalah pilihan yang wajar.
Baru-baru ini, seorang pengarah Indonesia, Hanung Bramantyo mengarahkan filem Bumi Manusia (2019), sebuah hasil adaptasi daripada penulisan sasterawan besar, Pramoedya Ananta Toer.
Pengarang ini telah lama diangkat sebagai tokoh revolusi dan ikon kebangsaan Indonesia atas kelantangan menentang ketidakadilan pemerintah sejak zaman Belanda hinggalah era Soeharto. Maka semakin ramai masyarakat yang tidak mengenalinya kembali mencari buku tersebut untuk mendalami plotnya.
Maka, adalah menjadi tanggungjawab pelbagai pihak untuk mewujudkan khalayak filem yang terdidik melalui pendidikan kesusasteraan.
Misalnya, jika karya seperti Hujan Pagi (1987) oleh A. Samad Said menjadi bahan bacaan wajib bagi komponen sastera Melayu di sekolah menengah, adalah perlu bagi pembikin filem atau drama televisyen untuk mengangkat karya tersebut dalam medium visual.
Hal ini dapat dicapai melalui padanan dasar-dasar kerajaan seperti Dasar Galakan Membaca dan Dasar Filem Negara iaitu menanam minat membaca melalui kerjasama pemain industri seperti syarikat produksi filem.
Hal ini dilihat mampu menyemarakkan sifat membaca apabila sesuatu karya itu divisualkan dalam bentuk yang lebih menarik dan bersifat komersial.
Karya Hujan Pagi jika difilemkan mampu mendatangkan kesedaran kepada golongan pelajar tentang etika kewartawanan, misalnya di samping memahami latar belakang sejarah yang menghiasi dunia seorang pemberita.
Berita mutakhir ini yang penuh dengan segala fitnah dan isu-isu sosial wajar difahami dari konteks individu sebagai penyebar maklumat yang bertanggungjawab.
Masyarakat moden juga gemarkan perkara yang sensasi serta ikutan ramai. Jika filem menjadi pemangkin populariti sastera, kita akan dapat melihat karya-karya hebat terdahulu menjadi bahan bualan yang relevan oleh golongan belia.
Kita juga perlulah mempunyai perancangan jangka panjang dari sudut kerajaan dalam mewajibkan pembikinan filem atau drama televisyen yang diadaptasi daripada karya-karya besar sasterawan negara yang lain seperti Usman Awang, Abdullah Hussain, dan Keris Mas.
Jika kita menyoroti sejarah, antara karya sastera yang terawal pernah dijadikan drama televisyen adalah Intan (1970) dan Rantau Selamat (1972).
Menariknya, drama yang dilakonkan oleh P. Ramlee ini merupakan hasil adaptasi daripada buku oleh Abdullah Hussain yang disiarkan melalui saluran Rangkaian Satu, atau kini dikenali sebagai TV 1 daripada Radio Televisyen Malaysia (RTM).
Sekali pun usaha mengadaptasi karya sastera semakin perlahan kini, kita harus tetap menambah nilai kualiti filem dan drama kita seiring dengan kecanggihan teknologi serta jangkaan penonton. – Mingguan Malaysia
Penulis ialah Graduan Ijazah Sarjana Muda Sains Politik, Universiti Sains Malaysia (USM).