Pelanggan tak semuanya betul! - Utusan Malaysia

Pelanggan tak semuanya betul!

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

“Duit dia besar sangat kot. Men­tang-mentanglah saya hanya kerja seperti ini. Dia buat saya macam sampah!” Itu kata seorang pekerja dobi layan diri kepada saya baru-baru ini.
Apabila nampak saja saya memasuki kedai dobi 24 jam itu, dia yang memang sudah biasa berbual dengan saya sambil saya menunggu pakaian kering bercerita tentang dirinya dimarahi oleh sepasang suami isteri, hanya kerana perkara kecil.
“Saya dimarahi kerana lambat memindahkan baju yang sudah habis dibasuh ke dalam mesin pengering. Walhal ramai orang ketika itu. Cuma saya saja pekerja di sini.
“Bukan suami isteri itu saja yang marah saya. Anak dia yang agaknya berusia lima atau enam tahun pun tiba-tiba kata saya bodoh! Ibu bapanya membiarkan saja anaknya bercakap begitu kepada orang yang lebih tua,” kata pekerja wanita itu menahan geram.
Saya hairan, kenapa perlu sampai tahap mahu marah-marah? Sedangkan itu dobi layan diri. Boleh saja buat sendiri. Macamlah kerja itu berat sangat. Memindahkan saja. Saya pun buat sendiri. Apalah yang hendak dikecohkan.
Tetapi begitulah kisahnya kalau bekerja dalam perkhidmatan yang melibatkan orang ramai. Kena banyak bersabar. Tidak boleh melayan panas baran. Panas baran pekerja dan pelanggan. Kadang-kadang hal yang kecil-kecil pun boleh dibawa bertengkar.
Lambat sikit ambil order makan di restoran boleh bergaduh, makanan lambat di hantar ke meja pun boleh bising, lambat kira bayaran pun kena, beg plastik kena bayar 20 sen pun masih tak tahu lagi, merungut-rungut dan macam-macam lagilah.
Apa yang saya hendak sentuh di sini, agaknya, ada segelintir dalam kalangan kita, menganggap pekerja-pekerja seperti ini patut melayan mereka dengan layanan tahap raja. Menjawab sedikit, akan diugut diadukan kepada tauke kedai.
Sekarang ini pula, cepat saja merakam kejadian untuk ditularkan dalam media sosial, warganet yang tak tahu hujung pangkal pun terus menghukum.
Ya, betul, pelanggan mesti diutamakan. Tetapi istilah ‘pelanggan selalunya betul’ tidak boleh dipakai sangat ketika ini. Ia mengikut keadaan.
Ini kerana pelanggan sendiri ada yang tidak dapat mengawal emosinya dan ada waktunya sengaja mencari pasal melalui hal-hal yang remeh-temeh saja. Jadi mana datang betulnya?
Saya pernah melihat seorang gadis teresak-esak dimarahi pelanggan hanya kerana harga promosi minuman yang telah habis tempoh, tetapi pelanggan tetap mendesak agar dia diberikan harga murah itu.
Bising dia memarahi budak yang mungkin sebaya anak saya itu. Walhal kalau tengok promosi tertera di situ telah tamat dan harga promosi pun kurang hanya 50 sen saja daripada harga sebenar. Bayar sajalah. Kalau tidak suka dengan harga itu, jangan beli. Itu saja. Banyak minuman lain yang lebih murah. Kenapa mahu marah-marah?
Kenapa ada pelanggan yang bersikap sebegini? Mahu menunjuk garang, kuasa dan lagak, pada pekerja-pekerja seperti ini atau mahu membuli?
Sepatutnya, orang yang berusia lebih tua terutamanya, menunjuk perangai yang baik kepada yang muda. Betullah orang kata, bukan rambut putih membuatkan seseorang dihormati tetapi kelakuan mereka. Jangan fikir sebab mereka bekerja seperti itu, maka mereka berhak dilayan sebegitu.
Apa pun pekerjaan dan kedudukan kita, sepatutnya kita hormat kepada semua orang, tidak kira tukang sapu, tukang cuci atau pengawal keselamatan.
Hidup ini sepatutnya tenang-tenang sajalah. Jangan menyusahkan dan merumitkan kerja orang lain. Kalau mahu dihormati, kenalah hormat orang lain dulu. Tak akan itu pun tak tahu. – Mingguan Malaysia

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya