SAUDARA PENGARANG,
BARU-BARU ini, negara dikejutkan dengan pengumuman kerajaan Kedah untuk mula meneroka dan mengekstrak unsur nadir bumi (REE) yang dianggarkan secara keseluruhan bernilai RM62 bilion di daerah Sik.
Orang ramai perlu tahu bahawa pasaran global REE dianggar bernilai AS$4 bilion setahun tetapi 70 peratus pengeluarannya tertumpu di China sahaja. Dianggarkan 60 peratus REE adalah bahan wajib dalam penghasilan magnet yang digunakan dalam perkakasan elektronik untuk industri telefon bimbit, komputer, kapal terbang, kereta hibrid dan kincir angin.
Kerajaan Kedah tentu telah melakukan kajian terperinci dari segi ekonomi dan mendapati industri pengekstrakan REE secara langsung berupaya untuk meningkatkan hasil pendapatan kerajaan negeri.
Ramai menzahirkan rasa tidak gembira dengan pengumuman berkenaan kerana pada masa kini, banyak pihak di seluruh dunia tidak berani mempertimbangkan untuk mengekstrak REE kerana pencemaran yang akan berlaku terhadap alam sekitar. Ini akibat penggunaan teknologi konvensional iaitu pemisahan berasaskan asid bagi menulenkan REE.
Kegusaran masyarakat juga semakin bertambah apabila projek di Kedah ini disamakan dengan pengalaman lalu berkaitan dengan projek Lynas di Pahang yang telah menimbulkan banyak kontroversi.
Namun, masyarakat perlu berlapang dada dan melihat dari sudut tinjauan ekonomi yang positif kerana teknologi terkini berkaitan proses pengekstrakan dan pemurnian REE dilaporkan lebih mesra alam sekitar.
Pada Mei lalu, sekumpulan penyelidik di Universiti Purdue, Amerika Syarikat (AS) diketuai Profesor Kejuruteraan Kimia, Nien-Hwa Linda Wang dilaporkan mencipta teknologi baharu yang akan mengubah kaedah pengekstrakan dan pemurnian REE.
Kaedah baharu pengekstrakan dan penulenan yang dipatenkan ini menggunakan proses kromatografi dibantu oleh ligan tertentu dan ia terbukti dapat menghilangkan dan membersihkan REE daripada abu arang batu, magnet dan bateri kitar semula serta bijih mentah dengan selamat, cekap dan hampir tiada kesan buruk terhadap alam sekitar.
Ligan adalah istilah sains dalam bidang kimia merujuk kepada molekul atau ion yang terikat pada atom.
Teknologi baharu ini terbukti dapat menghasilkan REE dengan kadar pengeluaran dan kemurnian tinggi iaitu melebihi 99 peratus.
Ini berbeza dengan kaedah konvensional menggunakan mekanisme pengekstrakan cecair dua fasa yang memerlukan ribuan unit pengadun-enap secara bersiri atau selari dan akan menghasilkan sejumlah besar sisa toksik.
Linda Wang juga dilaporkan berkata, kumpulan penyelidikannya akan terus bekerja untuk menyesuaikan teknologi baharu sistem bantuan ligan ini dengan banyak lagi variasi sumber-sumber REE lain.
Risiko pencemaran tetap ada walaupun dengan tersedianya teknologi baharu pengekstrakan dan pemurnian REE yang lebih mesra alam sekitar. Kerajaan Kedah perlu memastikan industri ini diselia dan dikawal dengan peraturan dan undang-undang yang ketat.
AMMAR MOHD. AKHIR
Fakulti Kejuruteraan Kimia
Universiti Teknologi Mara (UiTM)