Musim sejuk: Pelarian Syria perlukan bantuan - Utusan Malaysia

Musim sejuk: Pelarian Syria perlukan bantuan

DENGAN keadaan dunia dalam kesusahan kerana Covid-19, nasib pelarian Syria semakin teruk. – IHSAN MLLFS
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SAUDARA PENGARANG,

PANDEMIK Covid-19 membawa kesusahan di seluruh dunia. Di Malaysia, ramai yang jatuh miskin dan terdapat golongan berpendapatan pertengahan (M40) bertukar status menjadi golongan berpendapatan rendah (B40).

Banyak usaha dan tenaga dikerahkan oleh kerajaan untuk membantu golongan miskin, dibuang kerja dan peniaga yang terjejas.

Di negara-negara lain, keadaan hampir sama berlaku apabila penduduk yang sudah sedia miskin sebelum pandemik menjadi bertambah miskin. Dijangkakan menjelang akhir bulan ini, wujud tambahan 100 juta penduduk miskin di seluruh dunia.

Syria sebagai contoh, empat daripada lima rakyatnya sudah sedia miskin berikutan hampir sedekad berperang. Ketika saya mengetuai projek kemanusiaan, Malaysia Life Line for Syria (MLLFS) di bawah Global Peace Mission (GPM) Malaysia yang juga agensi bantuan kemanusiaan Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM), pelbagai jenis bantuan disalurkan kepada pelarian Syria.

Bantuan diberikan kepada pelarian yang berada di Syria, rakyat negara itu yang menjadi pelarian di sekitar Asia Barat dan kumpulan yang dibawa masuk ke Malaysia.

Namun pandemik berkenaan merencatkan usaha membantu rakyat Syria kerana pertolongan juga harus diberikan kepada rakyat Malaysia yang semakin susah. Sudah jatuh ditimpa tangga, begitulah nasib yang menimpa pelarian Syria yang sehingga kini masih dihujani peluru dan bom ditambah ujian Covid-19, berat mata memandang, berat lagi bahu memikul.

Saya masih menerima laporan langsung daripada aktivis kemanusiaan di lapangan yang memaklumkan situasi di Syria terus memburuk dengan 6.2 juta rakyatnya menjadi pelarian di dalam negara sendiri sehingga akhir 2019. Mereka amat terdesak untuk mendapat bantuan kemanusiaan dari segi makanan asas dan perubatan.

Golongan paling terkesan ialah kanak-kanak, wanita hamil, orang kurang upaya (OKU) dan warga emas. Dengan keadaan dunia dalam kesusahan kerana Covid-19, maka nasib mereka semakin teruk.

Suasana perang yang masih berterusan, kejadian banjir di sesetengah tempat, kejatuhan mata wang Syrian Pound (SYP) sehingga 90 peratus sekarang dibanding awal tahun ini, pengangguran yang tinggi, kenaikan harga barangan keperluan dan musibah Covid-19 melengkapkan lagi kesusahan mereka. Mereka juga sedang berhadapan musim sejuk yang menyukarkan dalam tempoh tiga hingga empat bulan ini.

Bagi yang diberikan kelebihan rezeki dan kudrat, teruskan membantu rakyat tempatan yang susah di samping menghulurkan sedikit derma kepada sahabat-sahabat kita di luar negara.

GPM Malaysia dikemudi pemimpin belia yang mempunyai rekod baik membantu rakyat Malaysia dan masyarakat luar negara mampu menjadi perantara bagi menyalurkan sumbangan tersebut.

JUFITRI JOHA
Presiden Majlis Belia Malaysia (MBM)

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya