Manfaat cuti dengan membaca - Utusan Malaysia

Manfaat cuti dengan membaca

Ibu bapa disaran memanfaatkan musim cuti sekolah dengan menghidupkan amalan membaca di rumah. – GAMBAR HIASAN/SUMBER INTERNET
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SAUDARA PENGARANG,

CUTI sekolah telah pun bermula. Anak-anak akan terus berada di rumah dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB).

Pembelajaran di rumah tanpa tugasan guru terhenti seketika sehinggalah sesi persekolahan baharu dibuka pada 20 Januari nanti. Apakah manfaat yang boleh diambil sepanjang tempoh cuti sekolah dalam fasa PKPB?

Keberadaan anak-anak di rumah pastinya memerlukan komitmen ibu bapa atau penjaga agar budaya belajar terus subur tanpa nokhtah kebosanan. Pelbagai aktiviti berfaedah boleh dimanfaatkan antaranya menghidupkan budaya membaca.

Amalan budaya membaca semakin lesu apabila teknologi elektronik lebih menjurus kepada keseronokan semata-mata dengan kepelbagaian perisian. Permainan dan hiburan amat dominan sedangkan terdapat banyak bahan yang boleh dicapai dengan akses internet.

Kelalaian dan kealpaan mengawal gajet atau peranti digital tanpa kawalan penjaga akan menjerumuskan anak-anak kepada pengabaian masa. Inilah saat dan peluang keemasan untuk ibu bapa atau penjaga mewujudkan suasana pembelajaran dengan aktiviti membaca.

Sejarah membuktikan bahawa sesiapa yang banyak membaca akan lebih terserlah ilmu pengetahuannya. Sesiapa yang ingin menjadi pemimpin masa depan juga perlu banyak membaca. Banyak membaca maka timbulah idea baharu untuk difikirkan dan diselesaikan.

Tempoh pandemik Covid-19 sewajarnya menjadi medan ilmu bagi setiap lapisan masyarakat memupuk budaya membaca dalam kalangan ahli keluarga. Tempoh cuti perlu diisi dengan pengisian ilmu agar peningkatan ilmu pengetahuan terus berlaku.

Kemahiran berfikir anak-anak perlu diasah dengan amalan membaca sebagai asas kefahaman dalam setiap disiplin ilmu.Timbulkan persoalan kepada mereka, kenapa perlu membaca, apakah kepentingan membaca dan kesan membaca terhadap diri seseorang?

Begitu juga dengan membangkitkan persoalan seperti apakah rahsia dan kehebatan membaca kepada manusia sehingga wahyu pertama yang diturunkan kepada Nabi Muhammmad SAW juga menjurus kepada perintah membaca dan menuntut ilmu?

Orang yang banyak membaca mempunyai banyak ilmu pengetahuan berbanding mereka yang kurang membaca. Semakin banyak membaca, semakin banyak perkara baharu diketahui. Semakin banyak membaca, semakin banyak perkara ingin diteroka.

Para pelajar perlu mengambil peluang keemasan dalam tempoh bercuti dengan memperkayakan minda, idea dan pandangan yang bernas melalui pembacaan. Ia akan menghasilkan suatu penulisan yang menarik dan mengajak pembaca lain untuk sama berfikir.

Setiap lontaran idea pastinya bersambut dengan perbincangan atas perbezaan pendapat. Secara tidak langsung, setiap ahli masyarakat akan terus berfikir untuk memajukan sebuah negara yang diasaskan dengan amalan budaya membaca.

TUMIN YATMAN
Pengetua Cemerlang SMK Seri Machap

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya