Majlis kahwin norma baharu dapat elak Makcik Bawang - Utusan Malaysia

Majlis kahwin norma baharu dapat elak Makcik Bawang

Bakal pengantin sudah boleh menerima norma baharu dalam perkahwinan semasa penularan pandemik Covid-19. – GAMBAR HIASAN/UTUSAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SAUDARA PENGARANG,

PENINGKATAN kes Covid-19 menyebabkan kerajaan terpaksa memperketatkan prosedur operasi standard (SOP) bagi majlis perkahwinan.

Langkah itu bagi mengelak wujud kluster baharu memandangkan majlis perkahwinan dihadiri ramai tetamu dengan pelbagai latar belakang.

Buat masa ini, hanya upacara pernikahan dibenarkan menyebabkan banyak ramai pengantin melahirkan rasa kecewa kerana terpaksa menangguhkan majlis perkahwinan.

Jika kerajaan tidak mengambil langkah sebegini, dikhuatiri semakin banyak kes Covid-19 dalam masa terdekat.

Oleh itu, bakal pengantin dan keluarga harus menerima norma baharu termasuk pernikahan di pejabat agama tanpa dihadiri keluarga yang besar kecuali wali dan saksi.

Saya percaya, sejak pandemik ini melanda, bakal pengantin berbelah bahagi sama ada ingin meneruskan majlis seperti dirancang atau tangguh sehingga keadaan benar-benar pulih.

Malah tidak dinafikan terdapat juga bakal pengantin yang terpaksa bertikam lidah dengan keluarga dan pasangan kerana berlainan pendapat.

Sukar sebenarnya kerana ia melibatkan dua buah keluarga, lebih-lebih lagi jika segala persiapan sudah tersedia dan dibayar deposit.

Namun, kita perlu melihat hikmah yang lebih besar dalam situasi ini seperti dapat mengelakkan pembaziran jika menganjurkan majlis secara besar-besaran.

Selain itu, tiada Makcik Bawang yang akan mempertikaikan konsep majlis, makanan, busana pengantin, tatarias pengantin, hantaran dan sebagainya. Bukankah ia lebih baik?

Pun begitu, terpulang kepada diri masing-masing. Jika tidak memilih dan hanya bersandar niat mahu membina mahligai, maka inilah masanya untuk mendirikan rumah tangga. Namun, jika masih memiliki niat untuk menunjuk kemewahan majlis, maka tunggulah sehingga pandemik ini hilang dari muka bumi. Tepuk dada tanya selera.

Bella
Kuala Lumpur

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya