SAUDARA PENGARANG,
DAGING merupakan salah satu sumber protein untuk diet harian manusia. Ia yang kaya dengan sumber protein mempunyai peminatnya tersendiri menyebabkan permintaan terhadapnya tinggi di pasaran.
Bagi yang beragama Islam, mereka mulai ragu-ragu untuk membeli susulan pembongkaran aktiviti penyeludupan dan pembungkusan semula daging sejuk beku secara haram di media, baru-baru ini.
Aktiviti tidak bertanggungjawab tersebut didedahkan hasil risikan Jabatan Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia (Maqis). Aktiviti itu turut memalsukan label dan cap halal yang kemudiannya ditampal pada kotak daging yang telah dibungkus semula itu.
Ia dilakukan oleh kartel yang menyeludup daging sejuk beku dari China, Ukraine, Brazil dan Argentina sebelum membungkus semula dengan logo halal dan menjualnya ke pasaran di seluruh Malaysia.
Ini kerana aktiviti itu boleh menimbulkan kekeliruan ekoran ia berkaitan hukum dalam kalangan umat Islam di negara ini.
Oleh itu, pembeli diminta lebih berhati-hati ketika membeli daging dengan mengutamakan produk yang memiliki pelekat halal diperakui oleh Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim).
Pengimportan daging secara sah perlu diperoleh daripada sumber negara dan rumah sembelih yang diperiksa dan diluluskan Jabatan Perkhidmatan Veterinar (DVS) dan Jakim sebagai jaminan keselamatan makanan dan status halal.
Pada masa sama, Jakim dan pihak berkuasa perlu memantau daging sejuk beku yang diimport dan memeriksa secara mengejut premis yang menjual produk makanan tersebut agar orang ramai tidak tertipu dengan sindiket tersebut.
NASRI FITRI
Batu Pahat, Johor