Mahasiswa cerminan zaman - Utusan Malaysia

Mahasiswa cerminan zaman

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

CERPEN KARYA 

HANIFF ABDULLAH HASHIM

Pada ketika menulis nama dalam daftar mahasiswa sebuah institusi pengajian tinggi, dia hanya ada satu matlamat, belajar untuk bekerja, bekerja bagi menyara keluarga. Orang tuanya pekerja kampung tegar. Setia menggali, menebas, mencangkul, menternak, menanam apa sahaja dengan janji mendatangkan hasil. Perit jerih dirasai menyeluruh dalam pembuluh darah urat nadi mereka sekeluarga.
Nabihah anak kelima daripada 11 adik beradik. Abang dan kakaknya telah berumah tangga lantas meninggalkan keluarga. Pengorbanan demi kemandirian hidup sendiri keluar dari kepompong kebergantungan.
Rumah ini hanya kembali mewah dengan tawa anak kecil apabila tiba musim perayaan. Kemudian sirna ditelan tuntutan pekerjaan masing-masing. Arus zaman menuntut usaha hingga kudrat terakhir manakala malam tersedia untuk bermimpi tentang janji dunia yang tidak pernah tertunaikan.
Usai orientasi, pelajar baharu dipujuk menyertai pelbagai kelab. Berkali dia menggaru kepala tanda keliru. Bilik Nabihah tidak terkecuali dikunjungi senior bertudung litup. Simpul senyum pada hujung bibir, mengukir tanda ikhlas dari wajah jernih manakala dua daripada lima orang jumlah mereka lengkap berniqab.
Tertib menyusun ucapan merayu. Kata mereka hanya perlu peruntukan beberapa jam seminggu. Selebihnya fokus pada kuliah dan ulangkaji. Juga tidak ketinggalan, senior dari asrama kediaman mewajibkan penyertaan dalam program kebudayaan, kerohanian, akademik, usahawan dan sukan.
Kuat sungguh pujukan mereka. Tidak henti-henti mesej dan panggilan masuk melalui telefon pintar. Rakan sebilik dan kuliah sudah ada pilihan persatuan sendiri. Dia masih belum. Rasa sesak dalam terdesak menyentak memenuhi ruang dada.
Kata Sofea rakan sebiliknya, dalam belajar di universiti, ada dua perkara wajib dimasukkan dalam pertimbangan mahasiswa atau mahasiswi. Pertama, keterlibatan dalam kesatuan dan kedua, mencari pasangan kekasih. Sofea tersengih malu. Kemudian gelak sendiri. Sofea ada perancangan sendiri. Dia tidak sabar bebas daripada kongkongan sistem pembelajaran satu jantina. Bapanya berharap dia menggabungkan diri dalam Kelab Siasah Islami peringkat universiti.
Namun Sofea sudah ada perancangan. Dia bersama Persatuan Siswa Kebangsaan diam-diam. Penuh kesedaran dia tahu sedang diperhatikan pemberi maklumat kepada ayahnya. Kelab Siasah Islami sudah menunggu kedatangannya di universiti. Mereka bersedia merekrut Sofea dalam Lajnah dakwah. Namun kedinginan sikap Sofea memadam nyalaan api kesatuan.
Presiden Persatuan Siswa Kebangsaan adalah senior alumni Sekolah Ma’ahad Al-Bana, manakala dia Alumni Ma’ahad Hamidiyah. Sekolah mereka hanya bersempadan pagar dengan pengurusan sama. Anuar senior popular dengan perawakan matang, lembut dalam tutur, tetapi tegas disulam lantang manakala berpidato.
Kata para guru – “Anuar ini kalau berpidato seletus bedil berbunyi, mencebur ikan dalam laut, berkokok ayam dalam hutan.”
Malang sekali apabila Anuar melawan tradisi Ma’ahad Al-Bana, dia tidak menyertai Kelab Siasah Islami. Jiwa dan roh Ma’ahad Al-Bana tersentak, melunturkan keutuhan sebagai pusat pengkaderan Kelab Siasah Islam Nasional.
Ibu bapa mula ragu melanjutkan pelajaran anak mereka di universiti arus perdana. Nama Anuar dipaksa padam dalam sejarah Ma’ahad Al-Bana. Sofea dalam diam menyimpan rasa pada Anuar. Nabihah menguntum senyum kelat melayani labonan Sofea.
Status sebagai pelajar tanpa keterikatan pada kesatuan dan pasangan. Memberi ruang dia melayani keasyikkan dunia akademik. Dia menjadi penagih ilmu, menghuni sudut perpustakaan pada kebanyakan masa manakala Sofea mula mendekati Anuar dalam Kelab Mahasiswa Kebangsaan.
Kelab mahasiswa kebangsaan mendapat suntikan menjalankan kajian tentang kemiskinan bandar. Anuar mencari sukarelawan yang sanggup bersamanya ketika cuti pertengahan semester.
Tiga orang memberi maklum balas setuju mengorbankan cuti pertengahan semester. Za’im, Afendi dan Sofea. Anuar letakkan syarat sekiranya Sofea mahu turut serta, dia perlukan seorang lagi teman perempuan. Akhirnya setelah puas memujuk Nabihah, Nabihah setuju atas keterikatan setiakawan.
“ Nabihah akan ketuai kumpulan ini. Kita hanya ada lima orang,” Anuar memulakan perbincangan pada petang tersebut.
“ Saya tidak biasa mengetuai kumpulan,” ada rasa resah pada suara Nabihah. Lantunan suaranya serak, tidak terkeluar habis.
“Menjadi mahasiswa bukan sahaja tahu menghadap buku, perlu tahu memimpin dan mengakar kebajikan pada masyarakat,” ada ketegasan dalam suara Anuar.
Nabihah tidak berkutik. Hanya mampu menggenggam penumbuk yang kemudian disorok belakang badan. Geram, dia melihat pada jalur-jalur urat halus wajah Anuar. Anuar senyum puas, menampakkan barisan gigi putih, bibirnya menjungkit misai yang dicukur tipis. Bauk pada pelipis di rapi halus membentuk sambungan ke janggut dan kumis.
“Ah, tiada istimewanya dia”. Nabihah radang. Tidak mahu kalah, dia mahu menjadi sekeras besi tuang berdiri tanpa diampu.
Tugasan mereka adalah mengkaji berkenaan miskin bandar dalam lokaliti Pangsapuri Seri Wangsa. Pangsapuri Seri Wangsa berjajaran dengan Sungai Klang. Sungai Klang yang penat mengarus air keruh bercampur sisa industri dan domestik kota.
Perangkap sampah terpempan, tidak mampu lagi menambah beban. Kajian kali ini, menggunakan geran kerajaan Wilayah. Pada akhirnya perlu satu kertas kerja cadangan resolusi masalah sosioekonomi setempat.
Kehadiran mereka disambut bening dengan pandangan sinis golongan remaja bertenggek atas motosikal. Lima lelaki dan tiga perempuan. Remaja lelaki tadi memandang Nabihah dan Sofea seperti kucing melihat ikan segar menggeletik. Mujur sahaja Anuar, Za’im dan Afendi bersama-sama mereka.
Pada pinggir sungai kanak-kanak jaras memegang galah panjang. Mengait sampah hanyut dari sungai. Apabila sampai di tebing mereka menyelongkar mencari bahan kitar. Memasuki kawasan flat, bau najis kucing masam bercampur bau tong sampah terbiar menguasai nuansa. Persatuan penduduk lesu. Alasannya tiada peruntukan dari kerajaan mengerakkan persatuan. Fizikal penempatan daif terbiar.
“Penduduk ingin membayar duit pokok RM100 sebulan sahaja tidak mampu, inikan pula mahu ditambah duit penyelenggaraan,” Zakaria ketua pemuda dilantik secara paksa bersuara.
“Lif bulan lepas baharu sahaja terhempas, dua orang patah kaki. Dari tiga hanya satu berfungsi. Penduduk di sini dah biasa naik tangga sampai tingkat 20,” Pak Kob tergelak. Hilaian hambar tidak bersambut.
Malam kian larut, Mereka leka dengan persiapan. Nabihah resah Sistem SPSS dalam komputer ribanya kejapan mati. Ekor mata mengerling Anuar dan Sofea. Za’im pantas membantu Nabihah membetulkan aplikasi SPSS, membuang beberapa aplikasi tidak perlu.
“Anuar itu kaki perempuan, demo-demo dan pekik lolongnya nak tunjuk handal,” Za’im berkata separuh berbisik. Jemari Za’im cekat menggerak tetikus dan meladeni butang kekunci.
“Ah, aku tidak peduli tentang itu, selesaikan kerja kita dan semua boleh balik,”.
“Komputer riba ini boleh ditukar nanti guna duit geran penyelidikan,” Afendi menyampuk.
“Geran penyelidikan untuk penyelidikan, ini komputer riba peribadi,” Nabihah mengisarkan punggung membetulkan duduk. Bunyi keriuk menunjukkan tahap keuzuran kerusi.
“Berapa dia tawarkan engkau?” Afendi yakin bertanya.
“Tiada, inikan kerja persatuan. Kerja sukarela,”
“Tiada yang percuma. Aku di sini dibayar, Za’im di sini dibayar dan Sofea…” Afendi menjeling Anuar.
Sofea menatap layar komputer riba kosong. Mengelak tertangkap pandangan Anuar. Berpura-pura seperti merpati sukar diberkas.
“Semua ini milik pensyarah, dia sedang berbaring atau berjamu di restoran mewah. Apabila kita selesai dengan analisis, dia bentangkan pada universiti, pihak media akan berpusu mewawancara mereka.
“Data-data ini adalah bahan bakar ampuh untuk media. Polemik bagus untuk ahli akademik. Polemik mengilap sinar kebijaksanaan mereka,” Afendi merenjis kata pada hati membara Nabihah.
Za’im diam terus menyusun borang kaji selidik. Lima persoalan utama dalam instrumen kajian mereka adalah pertama : berkenaan politik semasa, kedua berkenaan ekonomi ketiga berkenaan pendidikan dan keempat berkenaan sosial.
Mereka bergerak dalam satu kumpulan. Cadangan Nabihah berpecah kepada dua kumpulan ditentang Anuar. Natijahnya Anuar dan Sofea terus tidak membantu. Nabihah bersumpah inilah pertama dan terakhir bersama Persatuan Siswa Kebangsaan.
Cukup tujuh hari kajian, jumlah sampel diambil hampir meliputi 20 peratus daripada keseluruhan penduduk. Nabihah yakin andai dipecah kepada dua kumpulan pasti akan dapat lebih capaian. Pulang ke universiti Nabihah Afendi dan Za’im sama-sama menganalisis kajian.
Hasil analisis kajian secara kuantitatif dan kualitatif menunjukkan mengenai soalan pertama politik; masyarakat flat telah putus asa terhadap kepimpinan politik.
Baik bawahan, mahupun atas juga dari parti A atau B, gagal membawa apa-apa perubahan terhadap sosioekonomi mereka.
Perkara kedua fasal ekonomi. Penduduk mengeluh gaji berkenaan gaji yang dibayar kompeni tidak padan dengan kerja, terpaksa suami isteri dan isi rumah yang mana telah tamat atau berhenti sekolah untuk bekerja mencari rezeki. Ada pula yang tidak mampu bekerja, mengharap bantuan kebajikan.
Harga barang naik, jumlah bantuan makin naik. Ingin pulang ke kampung bercucuk tanam, tanah telah habis tergadai kerana berebut adik beradik. Terpaksa berserah nasib tinggal dalam rumah sempit dalam kota tanpa belas kasihan ini.
Hasil dapatan mereka bercampur-campur berkenaan pemikiran masyarakat Pangsapuri Seri Wangsa terhadap pendidikan. Ada mengakui kepentingannya, ada tidak ambil peduli dan tidak kurang mengakui kepentingan tetapi kurang daya dorongan. Asas kesedaran berkenaan pendidikan perlu diperkukuhkan dan disampaikan secara tepat kepada mereka.
Sementara itu, dapatan berkenaan perkara ke empat iaitu sosial. Rata-rata antara mereka mati akal untuk mengawal permasalahan sosial ini. Kebanyakan sibuk bekerja siang baik pun malam.
Sukar mengawasi anak-anak dalam pergaulan. Lagi pula di luar sana banyak pengaruh tidak tentu hala. Mana bernasib baik dengan kecerdasan anak dalam akademik bolehlah menghantar anak ke asrama, terselamat anak mereka. Walaupun tidaklah secara mutlak kerana sesekali balik cuti bergaul juga dengan rakan sebaya.
Sofea hanyut dalam aktiviti persatuan, tetapi tidak menokok kematangan. Malahan hanyut dalam soal perasaan.
Awal pagi Sabtu, pada ketika kabut embun masih menyelimuti kampung. Nabihah bangun, ada wawancara berkenaan dapatan kajian kumpulannya. Dia sengih sendiri melihat paparan carta pai keempat skop kajian. Pensyarah tersebut mengulang-ulang mengikut “kajian saya”, “kajian saya ini”, “saya melakukan kajian ini”.
Hanya lima minit pentaksiran data kajian dibentangkan, wawancara beralih angin melentur kepada naratif politik. Pembelaan kononnya akan diberi. Usul panjang berjela dalam kajian tidak digubris.
Nabihah terus menutup televisyen dan menyambung tidur. Pedulikan akan kajian-kajian berimpak tinggi pada kertas. Tiada impak dalam praktikaliti kerana sabotaj berpanjangan. – Mingguan Malaysia

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya