SAUDARA PENGARANG,
KOPERASI kami ialah pengguna program Pos Laju SendParcel yang dipelopori oleh Pos Malaysia Berhad.
Platform pengeposan secara dalam talian itu ialah inovasi terkini yang bermatlamat membantu pelanggan termasuk perusahaan kecil dan sederhana (PKS) mengurus pengeposan secara pukal serta mendapatkan kadar pengeposan dan sebut harga segera.
Pelanggan juga boleh menikmati kadar terbaik, perkhidmatan pengambilan barangan percuma dan tidak lagi perlu mengisi label penghantaran secara manual kerana dijana secara automatik oleh sistem.
Pada lewat 2019, kami bersetuju menerima tawaran promosi harga istimewa untuk tempoh setahun.
Dengan itu, kami diminta membayar deposit sekurang-kurangnya RM1,000 yang akan ditolak setiap kali kami membuat penghantaran bungkusan atau dokumen mengunakan perkhidmatan Pos Laju SendParcel.
Bagaimanapun, penggunaan perkhidmatan yang menarik ini terhad destinasinya apabila pandemik Covid-19 melanda negara kita mulai Mac lalu. Pihak Pos Laju telah membatalkan perkhidmatan pos serta penghantaran barangan ke luar negara beberapa bulan selepas pandemik berlaku.
Dengan mengehadkan pengeposan dan penghantaran hanya untuk laluan domestik, kami tidak dapat mengunakan keseluruhan deposit dalam tempoh setahun seperti yang ditetapkan.
Disebabkan tempoh promosi sudah tamat setelah cukup tempoh setahun, Pos Laju telah mengenakan bayaran caj penghantaran mengikut kadar biasa iaitu lebih tinggi daripada caj promosi.
Oleh itu, kami memohon Pos Laju melanjutkan caj promosi sama seperti langkah kerajaan memberikan moratorium kepada rakyat selaras dengan rekodnya sebagai pemberi khidmat cemerlang.
KOPERASI KELUARGA RAJA SAMAH BHD.
Senawang, Negeri Sembilan