Ladang babi ganggu keselesaan penduduk - Utusan Malaysia

Ladang babi ganggu keselesaan penduduk

PETA memaparkan sebahagian ladang ternakan babi di Bidor, Perak. – IHSAN PEMBACA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SAUDARA PENGARANG,

BARU-BARU ini diadakan bantahan aman oleh penduduk setempat dan wakil pertubuhan bukan kerajaan (NGO) di Kampung Kuala Gepal dan Kampung Poh di Bidor, Perak berhubung masalah ladang babi yang beroperasi sangat hampir dengan penempatan mereka.

Terdapat sesetengah kampung yang terletak hanya kira-kira 170 meter dari ladang ternakan berkenaan.

Menurut Indikator Pertanian Terpilih 2020 diterbitkan Jabatan Perangkaan Malaysia baru-baru ini, Perak adalah negeri paling banyak ternakan babi secara komersial iaitu sebanyak 545,258 ekor pada 2019.

Ia turut mengatasi Sarawak yang berada di tempat kedua dengan 427,037 ekor babi, Pulau Pinang (320,165), Selangor (265,847), Johor (262,178), Sabah (84,055) dan Melaka (41,328).
Negeri-negeri yang mencatatkan sifar ternakan haiwan berkenaan ialah Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Putrajaya dan Labuan serta Terengganu dan Perlis.

Antara implikasi yang berlaku kepada penduduk kampung adalah kewujudan ladang tersebut menyebabkan pencemaran bau dan sungai di mana sisa najis haiwan itu dibuang terus ke situ dan menyebabkan air menjadi keruh dan hitam. Bau air sungai yang amat busuk tersebar di seluruh pelosok kampung.

Ketika bantahan aman itu, penduduk kampung merayu kepada pihak berkuasa tempatan (PBT) untuk mengambil tindakan sekeras-kerasnya kepada pemilik ladang yang tidak mengikut prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan oleh kerajaan Perak.

Jika pengusaha terbabit masih berdegil dan tidak membuat apa-apa perubahan, mereka perlu diarah memindahkan ladang ke tempat lain.

Mohon pihak berwajib mengambil tindakan sewajarnya kepada pemilik ladang supaya isu ini dapat diselesaikan segera.

TAPAH MEDIA
Perak

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN