SAUDARA PENGARANG,
KEMATIAN anggota Batalion Ketiga, Pasukan Gerakan Am (PGA) Senoi Praaq, Sarjan Baharuddin Ramli pada November lalu akibat ditembak penyeludup di sempadan Malaysia-Thailand di Padang Besar, Perlis mencelikkan mata banyak pihak.
Isu ini secara tidak langsung memperlihatkan kelemahan kita dalam menangani pencerobohan sempadan yang telah lama berlaku.
Sebenarnya terdapat pelbagai cadangan diberikan oleh beberapa pihak bagi menangani masalah itu termasuk pemantauan menggunakan satelit dan memasang kamera litar tertutup (CCTV) berdefinisi tinggi.
Namun, kesemuanya tidak menjadi realiti bahkan sehingga sekarang aktiviti pencerobohan sempadan makin kerap berlaku seperti penyeludupan dadah, barangan kawalan termasuk minyak masak dan tepung serta pemerdagangan manusia dari Myanmar.
Setakat ini, antara cadangan yang dilaksanakan adalah melakukan pemantauan menggunakan dron dan menambahkan bilangan anggota keselamatan berkawal di lokasi panas dan lorong tikus yang menjadi tempat kegiatan penyeludupan.
Untuk jangka panjang pula, rasanya pembinaan tembok sempadan yang cadangan untuk tujuan itu dibuat sejak 2015 adalah langkah terbaik dalam mengekang penyeludupan.
Walaupun sempadan negara hanya 640 kilometer panjang, kos pembinaannya menelan belanja besar. Justeru, kerajaan hendaklah memastikan pembiayaannya dikongsi oleh kerajaan Malaysia dan Thailand kerana soal keselamatan sempadan kedua-dua negara adalah tangggungjawab bersama.
ABDUL HAMID
Kuala Lumpur