Jelmaan Arwah Pandak Harun - Utusan Malaysia

Jelmaan Arwah Pandak Harun

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Malam itu sebaik sahaja selesai tahlil dan doa selamat, Jidin dan beberapa rakannya tidak terus pulang ke rumah, mereka melepak di pondok berhampiran jalan besar berdekatan rumah arwah Pandak Harun. Memang sudah menjadi rutin mereka setiap malam, jika tidak bermain badminton di padang balai raya, di pondok itulah mereka menghabiskan masa bersembang hingga ke pagi.
Sejak selesai menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia beberapa bulan lalu, mereka memang tidak mahu berhijrah ke bandar seperti kebanyakan orang lain. Mereka lebih selesa tinggal di kampung membantu keluarga sambil membuat kerja-kerja sampingan sementara menunggu keputusan peperiksaan diumumkan.
Malam itu cuaca cukup baik. Cahaya bulan di langit menerangi persekitaran Kampung Kelam. Jidin melihat jam di telefon bimbitnya. Sudah hampir 12.30 malam. Bagi remaja seperti mereka waktu begitu masih awal melainkan ayam sudah mula berkokok. Kebiasaannya jam 2 atau 3 pagi barulah mereka beransur pulang ke rumah.
Sesekali gelak ketawa mereka memecah kesunyian malam yang ketika itu hanya dilatari bunyi unggas dan sahutan burung hantu dari hutan berdekatan, maklumlah Kampung Kelam terletak jauh dari pekan, jadi bila tengah malam keadaan memang sunyi, apatah lagi bila tiada kenderaan yang lalu lalang.
Sedang rancak bersembang, tiba-tiba Zahid terperasan ada sosok sedang melangkah perlahan di jalan raya berhampiran mereka. Zahid amati dengan teliti nampak jelas seorang lelaki sedang berjalan sambil menundukkan muka.
Zahid mencuit rakannya Jidin yang sedang asyik bersembang ketika itu. Masing-masing terdiam sambil mata masing-masing leka memerhatikan langkah lelaki tersebut yang semakin menghampiri mereka. Dalam hati berteka-teki siapakah agaknya gerangan yang berjalan seorang diri ketika itu.
Akhirnya sosok yang tidak dikenali itu melewati mereka. Zahid melompat dari pangkin tempat duduknya sambil menegur lelaki tersebut.
“Assalamualaikum bang… sapa Zahid sambil mengangkat tangannya. Lelaki tersebut seolah tidak mendengar tegurannya. Dia meneruskan langkah sambil menundukkan muka.
Zahid dan rakan-rakannya garu kepala. Pelik benar mereka lihat perangai lelaki tersebut. Jika tidak kenal sekali pun apalah salahnya berhenti atau membalas tegurannya, ini langsung tiada respons.
“Pelik sungguh! Kalau iya pun apalah salahnya jawab salam kita. Ini main blah macam tu je. Eh, korang kenal ke siapa lelaki tu? Orang kampung kita ke? tanya Jidin ke arah teman-temannya.
“Entahlah, aku tak cam sangat. Dahlah gelap, dia berjalan pun asyik tunduk je, mana nak kenal.” sampuk Pian seolah tidak berpuas hati.
“Arghh, lantaklah! Buat apa kita nak pening kepala pikir pasal orang lain. Baik kita sambung borak lagi ada faedah,” balas Jidin sambil ketawa mengekek. Rakan-rakannya turut ketawa sama melihat telatahnya. Mereka lantas sambung borak.
“Eh, kejap… kejap… cuba korang lihat tu! Sergah Pian sambil tangannya menunding ke arah lorong rumah Pandak Harun.
Dalam samar cahaya bulan, nampak jelas lelaki yang melewati mereka sebentar tadi sedang berjalan masuk menuju ke lorong rumah arwah Pandak Harun.
Zahid, Jidin, Pian dan Halim saling berpandangan. Mereka semakin pelik. Kalaulah lelaki tadi merupakan saudara mara arwah pastinya dia berhenti atau menyapa mereka yang menegur tadi. Tapi kalau saudara mara arwah yang baru sampai dari jauh tak mungkin pula. Takkan datang lewat malam dengan hanya berjalan kaki.
“Aku rasa lelaki ni mesti saudara mara arwah kot. Entah-entah dia sengaja keluar jalan-jalan sambil ambil angin malam,” sampuk Halim cuba menyedapkan hati.
Sedang otak mereka ligat meneka siapakah gerangan lelaki tersebut, tiba-tiba keheningan malam ketika itu dikejutkan dengan bunyi jeritan dari rumah arwah Pandak Harun. Apa lagi, mereka berempat terus bergegas dan berlari menuju ke arah rumah arwah. Takut kalau ada sesuatu perkara yang tidak diingini berlaku.
Suasana di rumah arwah Pandak Harun sedikit kalut sebaik sahaja mereka sampai di sana. Kelihatan anak perempuan arwah, Yasmin yang berusia awal 20-an sedang terbaring pengsan sambil diriba kakaknya. Beberapa ahli keluarganya juga dilihat membantu dan cuba memberikan pertolongan.
Hampir beberapa minit kemudian barulah Yasmin sedar. Itu pun setelah puas kakak dan abangnya menyapu air di muka dan tubuhnya. Namun raut wajahnya masih pucat dan matanya meliar seolah sedang mencari sesuatu. Beberapa abang dan pakciknya minta dia menceritakan apa yang berlaku sebenarnya sehinggakan dia boleh jatuh pengsan di dapur.
Dengan wajah pucat dan mulut terketar-ketar, Yasmin lantas menceritakan apa yang berlaku. Katanya, ketika dia ingin turun ke bawah untuk pergi ke tandas tiba-tiba dia terpandang seorang lelaki sedang membuka periuk berisi makanan di dapur. Sangkanya itu adalah abangnya, lalu dia pun menegur.
Namun sebaik sahaja lelaki tersebut memalingkan muka memandang ke arahnya, Yasmin kaget. Mulutnya serta merta terkunci, pandangannya serta merta menjadi gelap gelita. Lelaki yang disangkakan abangnya itu rupa-rupanya adalah sosok menyerupai arwah bapanya yang baru dikebumikan siang tadi.
Semua yang berada di situ terdiam dan berpandangan. Zahid dan rakan-rakannya terlopong mendengar cerita Yasmin. Mereka tahu tak mungkin Yasmin berbohong atau mengada-adakan cerita apatah lagi bila melibatkan ahli keluarga yang sudah meninggal dunia.
Sebaik meminta diri, mereka berempat terus buka langkah seribu pulang ke rumah masing-masing. Pengalaman itu sudah cukup membuatkan bulu roma mereka tegak berdiri dan jantung berdegup kencang.
Rasanya tidak salah jika mereka andaikan lelaki yang melewati mereka ketika di pondok tadi adalah jelmaan arwah Pandak Harun yang ingin pulang ke rumah.
Peristiwa yang berlaku pada 1990 ini berdasarkan kisah benar yang dilalui oleh Safian Sulong di kampung halamannya yang terletak di selatan tanah air.
Menurutnya lagi sejak kejadian tersebut ramai di antara mereka yang sudah tidak berani keluar malam, tambahan pula bila ada penduduk yang mendakwa terserempak dengan jelmaan ‘arwah Pandak Harun’ yang berkeliaran sekitar kampung.
Hampir tiga bulan kemudian baharulah keadaan kembali tenang setelah beberapa orang ustaz dipanggil untuk ‘memulihkan’ keadaan di situ. – Mingguan Malaysia.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya