PAGI Ahad lalu, bukan hari minggu yang merehatkan fikiran bagi saya. Perasaan saya cukup terganggu apabila membaca berita seorang kanak-kanak, Muhammad Adam Muhd. Norkhusairi, berusia 4 tahun meninggal dunia setelah dihumban dari tingkat 4, di sebuah pangsapuri di ibu kota.
Perbuatan tidak perikemanusiaan itu dilakukan oleh datuk tirinya, seorang warga Nigeria semasa mengamuk kerana gagal merogol anak tirinya dalam kejadian kira-kira pukul 7.40 pagi. Tidak dapat dibayangkan, bagaimana kanak-kanak yang sudah tentunya terpisat-pisat dari tidurnya, diperlakukan begitu.
Ini bukan lagi sebuah filem atau drama sedih dan ganas yang kadang-kadang bila ditonton, kita pula yang naik bengang dan meluat.
Bengang dengan pembikin filem, kenapa perlu ada adegan-adegan kejam dan sedih yang tak masuk akal. Tak akanlah ada orang sezalim itu dalam dunia ini? Dan tak akanlah hidup ini terlalu malang?
Tetapi itulah. Dalam dunia ini, hakikatnya kehidupan sebenar ada lebih kejam daripada apa ditonton dalam filem dan tidak terfikir ia boleh dilakukan oleh manusia, bukannya binatang buas.
Entah berapa kali dalam tulisan- tulisan saya sebelum ini, melalui nama kolum yang berbeza, saya menyentuh tentang hak wanita, perlu adanya keberanian mencorak hidup sendiri, pentingnya wanita berfikir dengan akal panjang dan untuk jangka masa panjang apabila memilih lelaki untuk masuk dalam kehidupan mereka.
Ia terutamanya pada ibu tunggal. Betapa mereka perlu memastikan hanya lelaki ‘budiman dan siuman’ saja dipilih menjadi imam dan membimbing mereka sekeluarga. Betapa keselamatan dan kebahagiaan anak-anak sesuatu yang tidak boleh dikompromi walau dengan lompong sebesar zarah. Jangan mengundang ‘lelaki jahat’ dalam kehidupan. Jangan tangkap muat saja untuk isi kekosongan hidup. Asalkan ada suami.
Mengutamakan keselamatan anak-anak adalah lebih penting daripada kebahagiaan sendiri. Bukan tak boleh mencari kebahagiaan, tapi mendambakan kebahagiaan juga memerlukan akal yang bijak bukan mengikut mainan perasaan, yang bersifat sementara.
Berdasarkan rekod penderaan kanak-kanak pada tahun lepas mendapati lebih 39 peratus atau 192 kes daripada 685 kes dera, dilakukan ibu kandung. Statistik yang dikeluarkan Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, mendapati golongan bapa mencatatkan 158 kes atau 32 peratus, pengasuh taska atau penjaga pusat jagaan 29 kes (enam peratus) manakala kes melibatkan ibu tiri tiga peratus atau 15 kes.
September lepas, polis menahan seorang warga asing kerana mencabul anak tirinya yang berusia 12 tahun di Kota Damansara. Lelaki itu dipercayai mencabul anak tirinya sejak mangsa berusia lima tahun.
Pada Julai lalu pula seorang lelaki berusia 43 tahun ditangkap dipercayai merogol anaknya dan melacurkan remaja itu kepada warga asing. Malah, dia turut melacurkan isterinya. Sebelum ini pun, sudah beberapa kes kanak-kanak meninggal dunia akibat didera kekasih ibu. Yang lebih teruk, ibu sedar perbuatan itu tetapi membiarkannya.
Persoalan besar di sini, kenapa mengundang semua ‘kejahatan ini? Kenapa ia tidak diakhiri saja? Kasih tidak bertempat atau tiada keberanian menentang kejahatan? Hidup ini ada pilihan. Membiarkan diri dan anak-anak ‘tersangkut’ dalam derita dan ketakutan yang lama demi kebahagiaan yang singkat, itu bukan pilihan. Itu sengaja menempa kegelapan.
Saya pasti semua orang tidak mahu membaca lagi episod-episod kejam dilakukan orang terdekat yang sepatutnya menjadi pelindung kepada anak-anak mereka. Walaupun si pelaku mengalami masalah mental, ia tidak dapat diterima sama sekali!
Muhammad Adam, bermainlah di taman syurga. Amat berbahagialah dalam pelukan dan kasih sayang Tuhan yang Maha Menyayangimu. Tiada siapa akan menakutkan dan menyakitimu lagi di sana. Al-fatihah. – Mingguan Malaysia
Janganlah fikir asalkan ada suami
- Oleh Fauziah Md Arof
- 6 Disember 2020, 11:30 am
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
BERITA BERKAITAN
Apabila guru ‘telan’ saja perangai ibu bapa
7 Ogos 2022, 7:53 am
‘Rembat’ sajalah kerja yang ada
24 Julai 2022, 7:09 am
Buka cerita rumah tangga di media sosial – Tepuk air di dulang, kena muka sendiri
10 Julai 2022, 11:37 am