SAUDARA PENGARANG,
KITA sudah melalui tahun mencabar akibat pandemik Covid-19. Norma baharu seperti pemakaian pelitup muka dan penjarakan fizikal sudah sebati dengan masyarakat kita pada hari ini, setelah genap setahun kita menghadapi gelombang penyakit berkenaan. Sektor ekonomi juga perlahan-lahan dibuka bagi memastikan kelangsungan hidup rakyat biasa.
Namun, saya kecewa dengan pendekatan diambil kerajaan yang masih gagal membuka ruang untuk industri sukan berfungsi seperti biasa. Saya faham kerajaan cuba mengelakkan jangkitan Covid-19 daripada merebak.
Tetapi, bukankah kita sudah menguatkuasakan undang-undang yang mensyaratkan semua pihak mematuhi prosedur operasi standard (SOP)? Terdapat beberapa jenis sukan yang tidak melibatkan bersentuhan secara fizikal sudah dibuka, namun segala tumpuan yang diberi kerajaan adalah untuk atlet elit dan tidak menyasarkan semua golongan dalam industri sukan negara.
Pemain dalam industri sukan negara bukan sahaja golongan atlet atau jurulatih tetapi juga meliputi usahawan peralatan sukan, perniagaan runcit sukan, perkhidmatan pelancongan sukan, infrastruktur, pengangkutan, katering, penyiaran sukan dan banyak lagi sektor subperkhidmatan yang perlu diambil kira.
Perlu diingat, atlet terdiri daripada dua kategori iaitu profesional dan semi-profesional. Berdasarkan dana yang diumumkan oleh kerajaan, kebanyakan lebih tertumpu kepada atlet profesional manakala atlet semi-profesional diabaikan begitu sahaja.
Kebanyakan atlet semi-profesional terpaksa mengakhiri kerjaya mereka pada saat pandemik ini akibat tidak cukup kejohanan untuk disertai yang mengakibatkan mereka kehilangan punca pendapatan.
Apakah langkah yang bakal diambil oleh Kementerian Belia dan Sukan (KBS) selain menyalurkan dana Prihatin Sukan yang hanya disalurkan terus kepada persatuan sukan dan skim TEKUN Sukan yang fokusnya lebih kepada pengusaha industri sukan sebanyak RM20 juta sebagai pinjaman mudah untuk memastikan kelangsungan operasi mereka?
Saya berpendapat, Belanjawan 2021 untuk pembangunan sukan negara ini tidak fokus menyeluruh tentang kesan ketara yang dihadapi oleh pemain industri sukan negara.
Sukan adalah penyumbang ekonomi dan pembangunan sosial di mana-mana negara. Jika KBS gagal mengatasi masalah dalam industri sukan, bagaimana pula mahu menyelesaikan lambakan graduan atau anak muda yang sukar mendapat peluang pekerjaan dalam era krisis luar jangka ini?
Industri sukan hakikatnya perlu berubah mengikut norma baharu. Saya juga mengharapkan KBS memberi fokus kepada bantuan bersasar terhadap seluruh pemain industri sukan negara dan bukan hanya tertumpu kepada atlet profesional.
Sekatan terhadap aktiviti sukan juga sebenarnya memberi kesan psikologi terhadap atlet. KBS perlu mempertimbangkan dari pelbagai aspek supaya industri ini terus berjalan seperti biasa tanpa ada yang dipinggirkan.
YUSLAINI AZMI
Kuala Lumpur