SAUDARA PENGARANG,
SKIM i-Sinar Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) umpama cahaya di hujung terowong, menghilangkan sementara resah saya yang diberhentikan kerja kira-kira lima bulan lalu kerana pandemik Covid-19 memaksa majikan mengecilkan operasi perniagaan.
Sepanjang lima bulan ini, saya bergantung pada sedikit wang pampasan, selain hasil daripada perniagaan kecil-kecilan untuk menanggung isteri dan dua anak kecil kami.
Isteri juga tidak bekerja. Sambil membantu saya berniaga, dia turut menjadi ejen menjual kerepek dan pelbagai makanan ringan secara dalam talian untuk menambah pendapatan.
Mujur dua anak tidak perlu ke sekolah rendah yang ditutup sehingga pertengahan Januari depan. Tidaklah terbeban sangat kehidupan kami dengan belanja makan dan kos berulang-alik ke sekolah.
Namun, saya dan isteri tetap perlu berdisiplin dalam berbelanja kerana masih harus membayar sewa rumah dan ansuran pinjaman pembelian kereta walaupun jumlahnya hanya sedikit melebihi RM1,000.
Dalam usia 40 tahun, saya bersyukur kerana masih ada kudrat dan tenaga untuk mencari rezeki, berniaga minuman di tepi jalan.
Saya percaya kepada takdir Tuhan, saya percaya soal ajal maut dan rezeki semua sudah ditentukan, cuma perlu berusaha dan jangan putus asa. Saya juga percaya kerajaan tidak mungkin membiarkan rakyatnya hidup dalam kesempitan.
Kepercayaan saya berbalas dengan pengumuman kerajaan mewujudkan i-Sinar melibatkan pengeluaran daripada Akaun 1 KWSP. Cerialah sedikit kehidupan kami.
Walaupun jumlah pendahuluan melalui skim i-Sinar yang akan diperoleh nanti tidaklah sebesar mana, saya tetap bersyukur.
ZUKI JALIL
Bandar Muadzam Shah, Pahang