Hukuman ceroboh tanah kerajaan terlalu ringan - Utusan Malaysia

Hukuman ceroboh tanah kerajaan terlalu ringan

PENCEROBOH tanah kerajaan boleh dikenakan tindakan undang-undang jika disabitkan kesalahan. – GAMBAR HIASAN/UTUSAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SAUDARA PENGARANG,

PENEROKAAN tanah kerajaan secara haram lazimnya berlaku dalam skala besar di hutan belantara seperti kawasan tadahan air, bukit dan gunung yang jauh dari laluan kenderaan.

Penerokaan tanah haram berdasarkan Undang-undang Tanah yang di guna pakai iaitu Akta 56 Kanun Tanah Negara (KTN) 1965 umumnya ialah mana-mana orang yang memasuki, menebas, menebang, menggali, menanam dan lain lain di atas tanah kerajaan tanpa kebenaran pihak berkuasa negeri dan tidak mendapat kelulusan Permohonan Tanah dan Geran Tanah (Suratan Hak Milik).

Sekiranya penerokaan tanah kerajaan secara haram berlaku di kawasan Hutan Simpan Kekal (HSK), maka kesalahan yang boleh disabitkan ialah di bawah Akta Perhutanan Negara 1984, tidak sama dengan KTN 1965 (Akta 56).

Seolah-olah terdapat pertindihan fungsi dan kuasa iaitu tanah dan apa-apa yang terdapat di atas tanah. Sebenarnya dua organisasi ini diwujudkan atas dua tugas dan fungsi yang sedikit berlainan walaupun mengenai hal-hal berkaitan tanah.

Lebih banyak pihak menuding jari kepada Pejabat Tanah Daerah, Pejabat Tanah dan Galian negeri, kerajaan negeri, Jabatan Hutan, Jabatan Alam Sekitar dengan mendakwa wujudnya penyalahgunaan kuasa, korupsi, tidak menjalankan tugas, bersubahat, makan wang perlindungan, makan gaji buta dan macam-macam lagi.

Antara faktor penerokaan tanah haram sukar dibendung dan semakin berleluasa apabila terdapat segelintir individu di pihak berkuasa pejabat tanah yang korupsi dan tidak amanah ingin hidup mewah, sama ada menjadi pelindung dengan melanggar nilai integriti. Perbuatan mereka ini amat licik dan halus tanpa diketahui oleh sesiapa pun.

Kelemahan undang-undang juga menjadi punca isu ini berlaku kerana KTN 1965 (Akta 56) hanya mempunyai dua seksyen yang menyentuh mengenai kesalahan penerokaan tanah kerajaan secara haram. Hukumannya pula jika disabit kesalahan amatlah ringan.

Oleh itu, satu tindakan drastik perlu dilakukan dengan memastikan modus operandi penguatkuasaan lebih tegas seperti peranan yang dimainkan oleh pasukan keselamatan tentera dan polis dengan mempunyai unit atau bahagian risikan dan unit cawangan khas.

Dalam perkembangan sama, adalah wajar Pejabat Tanah Daerah mempunyai lokap sendiri seperti dimiliki oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM). Ini bagi memudahkan mereka mengambil tindakan apabila ditangkap atau direman sementara menunggu hukuman.

Selain itu, KTN 1965 perlu dikaji dan dipinda agar lebih komprehensif dan hukuman yang dikenakan hendaklah lebih berat mengikut merit kesalahan.

TEROPONG DO RE MI
Setapak, Kuala Lumpur

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya