SAUDARA PENGARANG,
Perlu diakui, banyak sungai di negara ini sedang tenat menghadapi pencemaran akibat kerakusan tangan manusia tidak bertanggungjawab.
Walaupun tangkapan demi tangkapan dibuat serta hukuman dijatuhkan, namun ramai dalam kalangan pengguna tertanya-tanya. Sampai bilakah mereka akan terus menanggung beban gangguan bekalan air?
Tentu ramai masih ingat, kejadian pencemaran bahan kimia di Sungai Kim Kim, Pasir Gudang, Johor pada Mac lalu yang mengakibatkan lebih 3,000 orang kebanyakannya murid sekolah terpaksa menerima rawatan kesihatan.
Saya akui, memang ada pembaharuan termasuk diluluskan Rang Undang-Undang Lembaga Urus Air Selangor Pindaan 2020, baru-baru ini yang menaikkan denda pencemar sumber air daripada RM100,000 kepada minimum RM200,000 dan maksimum RM1 juta, manakala penjara dijadikan hukuman mandatori.
Selain hukuman denda dan penjara lebih tinggi, dicadangkan pesalah terbabit dihukum sebat dan dirampas aset mereka.
Rakyat sebenarnya sudah tidak larat lagi menanggung derita setiap kali berlaku gangguan bekalan air.
MOHD. SALLEH OSMAN
Presint 16, Putrajaya