SAUDARA PENGARANG,
terbaca satu pesanan daripada salah seorang rakan pendidik yang membuatkan saya tidak berhenti berfikir dan menumpang sedih. Guru itu mengingatkan, mereka yang menceburi profesion perguruan bukan kedai serbaneka yang beroperasi 24 jam sehari dan tujuh hari seminggu.
Ini kerana ada ibu bapa sebelum ini mempersoalkan keberadaan guru dalam memantau aktiviti pelajar di luar waktu sekolah ketika virus Covid-19 masih aktif merebak.
Lebih parah, ada ibu bapa seolah-olah menyalahkan guru sekiranya berlaku jangkitan wabak berkenaan dalam kalangan pelajar meskipun ia mungkin terjadi selepas waktu persekolahan.
Sikap ibu bapa terbabit dianggap melampau kerana guru juga mempunyai keluarga sendiri untuk dijaga.
Oleh itu, guru perlu menetapkan batasan untuk kebaikan diri sendiri. Pendidik harus mempunyai jadual waktu yang antara komponennya adalah bekerja berdasarkan jam, berhenti (atau pulang) dan berehat.
Bagi kebanyakan pendidik, waktu bekerja adalah dari pukul 8 pagi hingga 4 atau 5 petang. Apa sahaja tugasan yang di luar waktu itu mesti menunggu hari kerja berikutnya.
Oleh itu, guru perlu memaklumkan ibu bapa dan pelajar bahawa mereka hanya boleh berhubung sepanjang tempoh tersebut.
Untuk mengelak guru ‘diganggu’ di luar waktu kerja, mereka boleh memutuskan untuk tidak meletakkan aplikasi yang berkaitan dengan kerja pada peranti peribadi.
Perkara terhebat yang pernah saya berikan kepada diri saya sebagai pendidik adalah menutup penerimaan e-mel kerja di telefon bimbit di luar waktu kerja.
Adalah idea yang baik untuk menetapkan mesej respons automatik jika pelajar dan ibu bapa mereka menghubungi di luar waktu kerja dengan menyatakan segala persoalan yang diajukan akan ditangani keesokan harinya.
Bagaimanapun, guru boleh menjawab panggilan pada waktu malam daripada ibu bapa yang sibuk bekerja pada siang hari atau memberi respons kepada mesej dihantar pelajar yang berada di ambang kegelisahan tidak dapat menyelesaikan tugasan mereka pada lewat malam. Tetapi itu hanyalah untuk kes tertentu dan tidak boleh dianggap sebagai satu amalan biasa.
Sebenarnya, sangat sukar untuk menetapkan batasan kerana ada ibu bapa yang bersikap seolah-olah tidak faham. Untuk memastikan ibu bapa dan pelajar berhubung pada waktu persekolahan sahaja, semua guru perlu bersepakat untuk bersikap tegas dan tidak melayan mesej di luar waktu tersebut.
Ingatlah, untuk menetapkan batas waktu memang tidak mudah kerana sebagai pendidik, guru sudah tentu ingin sentiasa menolong orang lain. Tetapi kita tidak boleh mencurahkan sesuatu dari bekas kosong. Guru perlu diberi ruang untuk memenuhkan sebahagian waktu dengan urusan peribadi.
AZIZI AHMAD
Segambut Luar, Kuala Lumpur