Gerhana di jiwa - Utusan Malaysia

Gerhana di jiwa

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Karya WAN MARZUKI WAN RAMLI

“ABANG, Wai tengok sejak kebelakangan ni sikap abang dah berubah.” Meluncur juga kata-kata itu dari bibir Wairah. Sudah berhari-hari dia memendam perasaan, sesekali dia turut menyimpan prasangka.
“Awak ini dah buang tabiat ke, berubah apa saya ini?” cepat sahaja Zahar membalas pertanyaan Wairah isterinya itu.
“Kita dah 11 tahun hidup sebumbung bang. Sedikit sebanyak Wai tahu sikap abang yang sebenar. Kebelakangan ini Wai tengok abang banyak berdiam diri, selalu balik lewat, sembahyang pun tak lagi berjemaah di madrasah, abang sanggup naik keretapi ke Kuala Beris, semata-mata nak solat di sana, kenapa bang?” tukas Wairah, ingin tahu.
“Awak jangan bimbanglah Wai, awak tak buat salah apa-apa pada saya. Saya pun tak terasa hati apa-apa pun dengan awak. Diam itu amat baik untuk kita kenal diri, kita ni kena banyak muhasabah. Saya solat berjemaah di Kuala Geris sebab di sana lebih afdal!” balas Zahar, hujung bicaranya seolah-olah ingin mematikan topik perbualan yang dimulai isterinya itu.
Bunyi siren tren shuttle di depan stesen segera mematikan perbualan mereka. Tren 3 koc tersebut akan bertolak bila-bila masa saja menuju destinasi terakhir di Wakaf Bharu. Kalau tidak kerana kekangan kerja di Kilang Papan Timuran milik Tauke Tong Seng, setiap hari dia menaiki tren pukul 2 petang itu untuk berjemaah Zuhur di surau Tuan Guru Mahbood di Kuala Geris.
Perjalanan dari Kampung Kemubu mengambil masa lebih 20 minit kerana tren akan berhenti agak lama di pekan Dabong, mengambil pelajar dan guru di sekolah menengah dan rendah di situ sebelum melewati Bukit Abu dan Slow Temiang.
“Abang dengar kamu masuk kumpulan tarekat?” Zahar sedikit tersentak mendengar pertanyaan abang iparnya Zafri, sewaktu menebang pisang berangan tidak jauh di kawasan belakang rumahnya petang kelmarin.
“Salahkah saya masuk tarekat bang?” spontan Zahar melontar soalan semula kepada Zafri. Parang ditangannya diletakkan ke tanah setelah batang pisang dikerat dua. Dia mengangkat tandan pisang yang mengandungi puluhan biji pisang yang sudah tua.
“Masuk tarekat tak salah, tapi kena tengok juga tarekat yang bagaimana, termasuk bentuk ajaran diamalkan,” balas Zafri sambil membetulkan ketayap coklat di kepalanya.
“Saya ingin menjadi orang Islam sejati dan taat bang. Saya ingin mengenal Tuhan!” tukas Zahar.
“Jadi, orang di Kerubu tidak mengenal Tuhan? Jemaah di madrasah di sini bukan orang Islam sejatikah?”
“Kalau di luar saja Islam, Islam celup namanya tu bang,” tambah Zahar sinis.
“Astaghfirullahalazim Zahar, apa kau cakap ini. Sebab tulah kau pun dah lama tak datang berjemaah di madrasah kita itu. Siapa kita yang jahil ini nak bercakap pasal Islam tak Islamnya orang lain, soal akidah bukan soal main-main kau tahu!.” Suara Zafri mula meninggi. Adik iparnya itu sudah melampau lagaknya.
“Sudahlah bang, saya nak bawa balik pisang ni ke rumah, petang ini nak Kuala Geris, mungkin sehari dua, mengadap Tuan Guru.” Zahar dengan nada selamba meminta izin untuk beredar, dia membetulkan serban lusuh yang melilit kepalanya.
“Hah eloklah itu, pergi dua tiga hari kau tinggalkan pisang itu saja untuk makan isteri kau tiga beranak. Wairah cakap dengan aku dah lama kau tak bagi nafkah. Makan minum pun kau dah tak hiraukan sangat,” balas Zafri menyindir. Zahar membatu. Dia mengatur langkah menuju ke rumah.
Sesekali dia memalingkan pandangan ke arah abang iparnya itu yang masih tercegat membuntuti langkahnya, pedih juga ulu hatinya mendengar tutur bicara Zafri sebentar tadi.
Sejurus tiba, Zahar berehat seketika di kerusi batu di sebelah kiri stesen. Dia melepas lelah seketika sebelum meneruskan langkah ke pondok Tuan Guru Mahbood yang terletak di pinggir sungai ke kampung Jena. Agak-agak dalam 10 minit juga dia akan berjalan kaki ke sana.
Zahar puas. Dia lebih tenang setelah menyertai tarekat al-Mahbood. Dulu walaupun selalu berjemaah dan mendengar tok-tok guru mengajar di madrasah di Kemubu, jiwanya tetap resah. Pendeknya ibadat seharian seolah-olah tidak masuk ke sanubarinya.
Dia tak dapat kepuasan. Mutakhir ini sejak berdepan dengan Tuan Guru Mahbood, dadanya makin lapang, walaupun dia hanya bersolat Zuhur dan Subuh secara niatnya sahaja. Kelakuan solat tidak begitu penting kata Tuan Guru Mahbood. Ketulusan dalam hati dengan menyebut lafaz niat itu lebih utama., barulah terbit keikhlasan dan ketenangan untuk lebih dekat dengan Tuhan.
“Bang, Wai tak kisah kalau abang nak masuk tarekat mana pun, asalkan baik untuk perbaiki hidup kita. Tapi abang jangan sisihkan Wai dan anak-anak kita bang.” Suara Wairah perlahan saja, dia tenang berdepan dengan suaminya itu.
“Lain macam saja awak ni. Apa tak cukup nafkah yang saya bagi selama ini?” soal Zahar, ekor matanya menajam ke arah isterinya itu.
“Abang, sekarang ini jarang bertanya saya tentang barang-barang dapur. Belanja sekolah Nina pun abang jarang-jarang bagi. Si Faizul tu dah dua kali telefon nakkan duit bang…” Wairah tidak mampu berdiam diri lagi, dia sudah tidak mampu.
“Duduk asrama pun tak cukup-cukup duit lagi?”
“Duduk asrama saja percuma bang, semua keperluan lain terutama buku dan pelbagai yuran nak pakai duit bang,” sambung wairah.
“Saya tak ada duit sekarang ni, awak pinjamlah dulu dengan abang tu, nanti saya bayar kemudian.”
“Mudahnya abang cakap, abang Zafri tu pun bukannya orang berada juga bang. Lagipun dia tu anak ramai. Gaji abang kerja di kilang papan tu abang simpan semua ke?”
“Tak ada, memang abang tak ada duit sekarang. Duit gaji bulan ni pun dah habis,” ujar Zahar.
“Dah habis? Abang buat belanja apa? Bulan lepas pun abang tak bagi satu sen pun pada Wai!” Tanya Wairah penuh kehairanan. Pelbagai prasangka tumbuh di benaknya, ke mana suaminya membelanjakan duit gajinya?
“Banyak belanja masa abang ikut rombongan Tuan Guru buka cawangan di Gerik minggu lepas,” jawab Zahar tenang, seolah-olah tidak merasa sedikitpun rasa bersalah terhadap keluarga sendiri.
Wairah terkedu. Benarlah sangkaannya selama ini, betullah kata Makcik Mek, peraih keretapi yang memberitahunya pasal abang Zahar. Makcik Mek ramai kenal orang di Kuala Geris, sanak saudaranya ramai di situ. Dia tahu sedikit sebanyak berkenaan tarekat yang bertapak di situ yang turut disertai suaminya itu.
Sudah masuk dua bulan Zahar menyertai tarekat Al-Mahbood. Dua tiga orang penduduk Jena sudah berjaya dibawa masuk Zahar ke dalam tarekat suci tersebut.
“Kamu bertiga mesti kena masuk Islam dengan keyakinan, kenali Tuhan dengan serapat-rapatnya, ingat ayat al-Quran, sesiapa yang tidak kenal Tuhannya, dia tidak akan kenal dirinya. Ingat tu!” ujarnya kepada Jidin, Mat Arsyad dan Suliman yang bersetuju menggenapkan keanggotaan ke-33, 34 dan 35 tarekat yang baru berusia hampir 6 bulan di negeri ini.
Syarat keanggotaan amat mudah sekali. Tuan Guru hanya perlukan dua helai kain pelikat, semangkuk pulut kuning beserta ayam kampung panggang, tiga sikat pisang emas dan pengeras sebanyak RM44.50.
Setiap ahli baru juga dengan rela hati dimestikan meminum air pembersih yang telah didoakan Tuan Guru. Selebihnya, apabila sudah diajar beberapa jenis zikir, niat dua solat tanpa pergerakan fizikal dan doa-doa tertentu, setiap anggota juga perlu membuat jamuan kenduri ayam kampung dan kambing jantan untuk semua ahli sebagai tanda permuafakatan dan akujanji.
“Seelok-eloknya ramaikan lagi anggota kita. Biar semua kenal apa itu Islam sebenar. Jangan biarkan orang di luar sana hidup dalam kegelapan…” ujar Tuan Guru Mahbood sebaik selesai majlis jamuan meraikan keanggotaan tiga pemuda dari kampung Jena bulan sudah.
“Kata Tuan Guru, semua isi ajaran tarekat kita adalah rahsia, tidak boleh diceritakan kepada orang lain?” tanya Mat Arsyad.
“Semuanya tidak menjadi rahsia lagi bila mereka bersama kita. Ajak dan pujuk mereka dengan tutur kata yang manis,” balas Tuan Guru Mahbood dalam nada suara tenang bersulam senyuman.
Barangkali kerana metod begitulah, tarekat al-Mahbood berkembang biak hingga ke daerah ini setelah mula tumbuhnya di sebuah negeri sebelah utara. Manisnya bicara berserta pendekatan tarekat yang mudah dari segi perlakuan menyebabkan insan yang lemah iman dan sentiasa memayahkan diri untuk hidup beragama, akan mudah beralih kepada tarekat demikian.
Wairah terus makan hati dengan sikap Zahar. Suaminya kini bukan lagi Zahar yang pernah dikenalinya 12 tahun lalu. Bukan lagi seorang suami yang begitu bertanggungjawab, bukan lagi ayah yang penyayang kepada dua orang anaknya.
Sebenarnya, dia sendiri tidak ambil kisah apabila suaminya terbabit dengan Tarekat al-Mahbood. Apa yang dia faham ia sekadar salah satu dari bidang dakwah dalam menggali lubuk-lubuk ilmu agama.
Namun, sebaik beberapa kali tauke Tong Seng datang mencari suaminya di rumah kerana selalu sahaja ponteng kerja, Wairah mula tidak sedap hati. Di lubuk hatinya terbit pelbagai musykil. Orang yang semakin dekat dengan agama, sebaik-baiknya akan cuba memenuhi segala tuntutan hidup duniawi dan ukhrawi secara berimbang, getus hatinya.
Rasa pelik Wairah makin melalang di dada bila di sendiri dapat merasakan perubahan berlaku dalam kelakuan ibadat suaminya itu. Zahar adalah seorang taat beribadat walau dalam sesibuk mana sekalipun. Namun, mutakhir ini Wairah hanya melihat suaminya itu hanya bersolat Zuhur dan Asar sahaja tanpa menyempurnakan tiga lagi tuntutan fardu itu.
Wairah yakin Jimanlah orang bertanggungjawab memperkenalkan tarekat al-Mahbood kepada suaminya itu. Jiman hanyalah pekerja bengkel membaiki motosikal di pekan Dabong, walaupun pernah menjadi penuntut di salah sebuah IPT di utara tanah air. Dia gagal mendapat ijazah kerana terlibat serius dengan sejenis ilmu persilatan batin yang menyebabkannya gagal dalam pengajian.
‘Anak siapa ini bang?” perlakuan Zahar makin aneh apabila membawa seorang budak perempuan balik ke rumah pada petang Khamis itu. Wairah cukup kaget dan terkesima, hati dan jiwanya makin dibelit temali resah dan hairan.
‘Ini anak saudara Jiman, anak yatim budak ini. Tuan Guru sudah memberi tanggungjawab pada abang untuk jaga budak ini dengan sebaik-baiknya…” ujar Jiman teragak-agak.
“Jaga dia?. Tapi kenapa abang? Bukankah Jiman lebih berhak?” Tanya Wairah hairan.
“Nama dia Ismah, Wai, dia…”
“Kenapa dengan budak ni bang?” potong Wairah.
“ Dia… dia madu awak!”
“Hah?” tangkai jantungnya bagai dipanah petir jantan. Bagai ada kerikil bergerigis yang terdampan di kerongkongnya, membuatkan Wairah termanggu dan terkedu beberapa ketika. Diam.
“ Bang, kalau abang nak ikut tarekat apa sekalipun Wai tak kisah. Tapi abang jangan libatkan orang lain dalam hidup keluarga kita. ” Nada suara Wairah perlahan saja, namun bauran sebak mula menyentap akar nubarinya.
“Dia sudah sah jadi isteri kedua saya. Awak kena terima dia sebagai madu awak. Tuan Guru yang telah menikahkan kami secara batin dengan berwalikan Allah…” balas Zahar. Wajahnya tenang saja seolah-olah tidak ada sesuatu yang hal yang pelik dan ganjil yang telah berlaku dalam hidupnya.
Wairah tidak dapat menahan gelora sebak di dada. Lidanya kelu untuk terus menutur bicara. Dia tak pernah menyangka sampai ke tahap itu suaminya itu bertindak.
“ Zahar ni sudah melampau Wairah. Tak guna otakkah dia untuk berfikir dengan waras? Takkan dia tak tahu benda-benda macam itu melanggar syariat?” kata Zafri sebaik mendengar rintihan adiknya lewat pagi itu.
‘Tak tahulah bang, otak saya dah buntu. Saya kasihan pada budak Ismah tu, budak itu tak tahu apa-apa lagi pasal perkahwinan ini bang,” ujar Wairah.
“Makin melampau Zahar ni. Kamu tahu minggu lepas dia telah malukan Haji Bahar, imam masjid kita tu hah.”
“Malukan Pak Imam?” tukas Wairah, ada getaran kuat bergempa dari dalam dadanya.
“Ada pula dia kata -orang kampung kita masih ramai tak faham dan tak kenal Islam sejati, buat sambutan Maulud, buat ceramah Isra’ Mikraj yang tidak ada dalam Islam. Aku tak tahu apa yang dia belajar dengan tarekatnya tu,” sambung Zafri dengan nada geram.
Pagi Sabtu itu membawa berita ngeri. Berita Jiman yang maut dilanggar keretapi di Bukit Abu, sebuah perkampungan terpencil terletak lebih kurang 12 kilometer dari Kampung Kuala Geris mula heboh, bukan sahaja di seluruh kampung Kuala Geris, malah banyak kedai kopi di kampung Kemubu galak bercerita tentang kematian Jiman itu.
“Kesian Jiman tu bang. Abang bawalah Ismah balik ke sana” ujar Wairah.
Tanpa anggukkan atau mengiyakan kata-kata isterinya, Zahar terus membatu sambil bertongkat dagu di tepi jendela.
Dia memikirkan tentang kematian Jiman. Bukan kerana otak Jiman yang berhamburan di atas landasan kerana tempurung kepala yang pecah atau kerana bahunya penyek, tetapi kerana beberapa longgokkan besar kabel Telekom berada tidak jauh dari tempat kejadian berlaku, di tangan mayat Jiman, masih berbelit dawai kabel yang sudah dibuang penebatnya.
Pada sebelah petangnya, sepasukan van dari Jabatan Hal Ehwal Agama muncul di kampung kemubu. Sebelum sempat Zahar melangkah kaki meninggalkan rumah, dua anggota polis dan beberapa orang pegawai agama telah menahan Zahar atas kesalahan menjual pil-pil kuda di dalam keretapi kepada pelajar-pelajar sekolah menengah Dabong selain terbabit dengan ajaran sesat.
Ketika menghantar Ismah ke stesen Keretapi Kemubu, dalam situasi sebak kerana dihadapkan dengan jutaan kedukaan dan musibah, Wairah masih cuba mengukir senyum untuk segera memacak doa agar tiada lagi gerhana yang menjengah jiwanya! – Mingguan Malaysia

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya