Imah menekan perutnya sambil mengerang perlahan. Dia tidak tahu mengapa sejak akhir-akhir ini perutnya sakit mencucuk-cucuk. Nak kata salah makan tak mungkin pula kerana dia bukan jenis yang suka beli makanan di luar, nak kata salah makan di rumah pun tak mungkin juga kerana tiada seorang pun ahli keluarganya yang mengalami kesakitan sepertinya.
Ibunya juga pelik kerana sebelum ini dia pernah bawa Imah ke klinik untuk buat pemeriksaan, namun doktor yang merawatnya mengatakan Imah tidak sakit apa-apa sekadar salah makan. Lantas diberinya Imah ubat angin dan gastrik.
Selain menanggung kesakitan, Imah juga perasan selera makannya agak berkurangan dan berat badannya semakin menurun.
Ada ketikanya pula setiap kali batuk terdapat sedikit darah keluar dari mulutnya, namun dia tidak beritahu kepada ahli keluarga yang lain takut kalau-kalau mereka susah hati pula.
Tetapi malam itu Imah sudah benar-benar tidak tahan. Kali ini sakitnya bukan kepalang lagi. Ususnya terasa seakan disentap keluar hampir putus, lantas dia memberitahu kepada ibu dan ayahnya.
“Kita cuba bawa ke rumah Haji Manaf. Minta dia tolong tengok-tengokkan. Saya rasa ada ‘benda’ lain yang mengganggu Imah ini,” kata Pak Majid sambil mencapai baju di ampaian.
Imah nampak semakin lemah dan tidak bermaya. Bergegas ayahnya menghidupkan enjin kereta, sambil adik lelaki dan Ibunya membantu memapah Imah masuk ke dalam kenderaan.
“Iyelah bang… saya rasa memang ada sesuatu yang tidak kena dengan Imah ni sebab akhir-akhir ini sudah beberapa kali saya alami perkara-pekara pelik di rumah kita ini,” jawab Makcik Hasnah sambil memicit-micit belakang Imah.
Katanya, malam kelmarin ketika dia ingin keluar membuang sampah di luar rumah tiba-tiba dia terlihat ada seekor burung hantu bertenggek betul-betul di alang pintu rumahnya. Beberapa kali dia cuba halau, tetapi haiwan tersebut tetap berdegil tidak mahu pergi malah merenungnya dengan pandangan cukup tajam.
Ibunya yang berasa seram terus sahaja masuk ke rumah dan mengunci pintu.
Malam semalam sekali lagi kejadian yang menyeramkan berlaku. Ketika berada dalam tandas dia terdengar bunyi dinding dicakar kuat dari luar. Bunyi tersebut berlarutan bebeapa saat, namun ketika dia keluar untuk periksa tidak nampak pula apa-apa di situ.
Lantas dia terus masuk ke bilik untuk melelapkan mata, dan ketika itulah dia terdengar seolah-olah ada sesuatu di bumbung rumahnya.
Bunyi tersebut tidak ubah seperti orang sedang berjalan memijak kepingan-kepingan zink di atas. Terus dikejutnya Pak Majid yang sedang lena tidur, namun setelah diperiksa tidak ada pula apa-apa mencurigakan di situ.
“Kamu jangan terkejut kalau aku beritahu sesuatu,” kata Haji Manaf perlahan setelah dia memeriksa keadaan Imah.
“Anak kamu ni sebenarnya telah disihir orang,” sambungnya lagi.
Mereka bertiga berpandangan sambil telan air liur. Terkejut mereka mendengar apa yang disampaikan oleh Haji Manaf ketika itu.
“Cuba kamu ingat baik-baik, ada tak sebelum ni kamu menyakiti hati sesiapa sehinggakan ada orang sanggup berdendam dan buat kamu sampai macam ni,” tanya Haji Manaf ke arah Imah.
Imah diam. Dia mengetap-ngetap bibirnya seolah-olah cuba mengingati sesuatu.
“Tak ingat pula saya Tok Haji. Setahu saya memang tak ada. Tapi tak tahulah jika ada orang yang tidak suka dan tak puas hati dengan saya. Rasanya saya tak pernah pula bermusuh dengan sesiapa,” jawab Imah mengerutkan dahi.
“Tak apalah, Saya pun tak mahu kamu tuduh sesiapa. Insya-Allah semuanya akan baik seperti sediakala, tetapi lepas saya pulihkan ini jangan sesekali tanya saya siapa yang lakukan dan minta saya pulangkan balik sihir ni pada si pelakunya. Saya tak buat macam itu. Apa yang terjadi ni biarlah Allah SWT yang membalasnya,” jawab Haji Manaf panjang lebar.
Selepas pulang ke rumah, Imah menuruti apa yang diajar oleh Haji Manaf. Sebelum masuk tidur dia mandi dan minum dengan air yang diberi, dan sebelum melelapkan mata dia membaca beberapa potong ayat suci al-Quran dan doa yang diajarkan oleh Haji Manaf kepadanya sebelum pulang.
Haji Manaf berpesan kepada ayah dan ibunya, malam nanti kemungkinan besar ada satu petunjuk yang akan mereka dapat dan minta mereka maklumkan kepadanya keesokan pagi agar dapat dia merungkaikan segala yang menjadi rahsia selama ini.
Memang benar apa yang diperkatakan oleh Haji Manaf. Malam itu sebaik sahaja mereka hendak melelapkan mata tiba-tiba terdengar Imah meracau berkata sesuatu.
“Ituuu… dekat bawah pokok jambu depan rumah itu, ada tiga orang. Seorang badan besar tinggi kepalanya botak. Seorang lagi pendek tapi rambutnya panjang sampai mencecah tanah. Seorang lagi pula tinggi, hitam berkilat, mereka tengah tanam benda dekat situ,” kata Imah dalam tidurnya.
Berdegup kencang jantung Pak Majid dan Makcik Hasnah ketika itu. Rasanya hendak sahaja mereka intai ke luar tingkap dan lihat ke arah pokok jambu di hadapan rumah mereka ketika itu namun takut pula rasanya. Manalah tahu kalau-kalau terlihat pula perkara yang tidak diingini di situ.
Malam itu ayah dan ibunya tidak dapat tidur lena. Mereka berdua tidak sabar menunggu siang untuk memberitahu kepada Haji Manaf tentang apa yang berlaku.
“Tengok ini, saya dah kata memang ada orang yang buat dajal pada keluarga korang ni,” kata Haji Manaf sambil mengeluarkan sebuah botol kecil yang dibalut kemas dengan kain kuning dari tanah yang digalinya berhampiran pokok jambu di hadapan rumah tersebut.
Haji Manaf membuka botol tersebut sambil mengeluarkan isi di dalamnya. Terbeliak mata Pak Samad dan Kak Munah apabila ternampak gambar Imah yang dilipat kecil bersama segumpal rambut, bulu haiwan serta beberapa batang jarum dan paku kecil.
“Tak apalah biar saya uruskan benda ni. Saya harap abang Majid dan Kak Hasnah mungkin dapat meneka angkara siapa perbuatan ini.
“Macam mana pun saya mohon banyak-banyak agar perkara ini tidak diheboh atau diceritakan kepada sesiapa. Saya mohon sangat-sangat,” kata Haji Manaf sebelum meminta diri pulang.
Pak samad dan Mak Munah mengangguk perlahan. Ketika itu masing-masing sudah dapat meneka angkara dan perbuatan siapa. Mereka syak pastilah perbuatan bekas teman lelaki Imah yang pinangannya baru sahaja mereka tolak pada bulan lepas. Mereka yakin apa yang berlaku ini adalah angkara dendam dan rasa tidak puas hati. – MINGGUAN MALAYSIA
Disihir gara-gara pinangan ditolak
- Oleh ROSHIHAN ANNUAR YUB
- 20 Disember 2020, 5:45 pm
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
BERITA BERKAITAN
Dari mana datangnya mata air ini?
29 Oktober 2023, 4:43 pm
Esok pagi bolehlah kau datang ke rumah aku…
1 Oktober 2023, 5:19 pm
Siapa yang kayuh basikal itu?
17 September 2023, 4:51 pm