Diabetes: Kita juara! - Utusan Malaysia

Diabetes: Kita juara!

KADAR gula yang diambil oleh rakyat Malaysia adalah sangat tinggi. – IHSAN CAP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SAUDARA PENGARANG,

PADA 14 November lalu disambut Hari Diabetes Sedunia. Sambutan itu seharusnya menjadi peringatan kepada kita agar sentiasa mengamalkan gaya hidup sihat untuk mengurangkan risiko diabetes yang kini berada pada tahap membimbangkan.

Diabetes ialah isu kesihatan awam yang perlu dititikberatkan. Pada masa ini, kes diabetes semakin meningkat di seluruh dunia disebabkan pelbagai faktor seperti peningkatan usia, urbanisasi, obesiti dan kurang bersenam.

Malaysia berada di tangga teratas dalam kalangan negara ASEAN yang mempunyai paling ramai penghidap diabetes dan tangga keenam di rantau Pasifik Barat.

Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) menganggarkan terdapat lebih 200 juta penghidap diabetes di seluruh dunia dan setiap tahun, tujuh juta lagi menghidapnya. Pada 2019, berlaku lebih 500,000 kematian membabitkan mereka yang berusia 60 tahun ke bawah disebabkan diabetes di Asia Tenggara.

Menurut Buletin Perangkaan Sosial Malaysia 2019, diabetes merupakan salah satu daripada 10 penyebab kematian utama di negara ini pada 2018.

Di Malaysia, di sebalik pelbagai kempen dijalankan, kes diabetes meningkat ke tahap epidemik (wabak). Menurut Kajian Kesihatan dan Morbiditi Kebangsaan 2019, seorang dalam lima orang dewasa atau kira-kira 3.9 juta penduduk berusia 18 tahun ke atas menderita diabetes.

Diabetes adalah penyakit kronik yang boleh dicegah dan bagi mereka yang sudah menghidapnya, diabetes boleh diurus, diperlahankan atau dicegah komplikasinya dengan mengamalkan gaya hidup sihat dan memilih makanan berkhasiat.

Penyakit itu dijangka terus naik pada kadar yang tinggi di Malaysia disebabkan gaya hidup tidak sihat yang kita amalkan termasuk makan terlalu banyak, makan makanan tidak betul dan kurang bersenam.

Tabiat itu menyebabkan Malaysia mempunyai paling ramai penduduk dengan berat berlebihan dan obes di Asia. Obesiti merupakan penyebab utama diabetes.

Rakyat Malaysia juga mengambil 20 sudu teh gula sehari berbanding saranan WHO hanya lima sudu kecil gula sehari.

Mereka tidak mendapat tidur secukupnya padahal ia adalah kunci kepada kesihatan yang baik. Mengikut satu kajian, penduduk Malaysia hanya mendapat 6.3 jam tidur secara purata berbanding lapan jam yang disarankan.

Berikutan peningkatan kes diabetes, Kementerian Kesihatan perlu mengambil pelbagai langkah untuk mencegahnya termasuk mendidik rakyat mengenai bahaya obesiti dan diabetes.

Makanan tidak berkhasiat yang kaya dengan lemak, gula, garam dan penambah perisa tidak seharusnya digalakkan dengan cara dikenakan cukai. Kemudahan rekreasi yang mencukupi juga perlu disediakan di semua kawasan kediaman.

Mesin yang menyediakan minuman dengan paras gula yang tinggi perlu diharamkan di sekolah, hospital dan tempat awam.

MOHIDEEN ABDUL KADER
Presiden Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP)

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya