SAUDARA PENGARANG,
KES bunuh diri semakin meningkat sejak bermulanya Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) pada Mac lalu. Perangkaan Polis Diraja Malaysia menunjukkan, 266 orang membunuh diri antara 18 Mac dan 30 Oktober lalu.
Dalam tempoh sama, jumlah kematian Covid-19 di Malaysia (termasuk warga asing) ialah 249 orang. Oleh itu, bilangan kematian akibat bunuh diri bersamaan 94 peratus daripada kematian Covid-19.
Kes bunuh diri dikaitkan dengan masalah hutang yang menjadi faktor penyumbang terbesar, diikuti masalah keluarga dan sengketa rumah tangga. Rasa tidak berdaya dalam situasi pandemik bukanlah sesuatu yang unik kepada rakyat Malaysia. Laporan baru-baru ini mendedahkan, lebih 40 pekerja asing telah membunuh diri.
Perasaan yang tidak berdaya bagi mendepani kehilangan pekerjaan, pengurangan pendapatan, masalah hutang atau kematian seseorang dalam keluarga akibat penyakit adalah beberapa penyebab memandangkan terdapat ketidakpastian yang masih ada tentang bilakah pandemik ini akan berakhir.
Selain itu, dicadangkan kerajaan menyebarkan maklumat mengenai tanda-tanda stres dan kemurungan yang boleh membawa kepada kecenderungan untuk membunuh diri bagi memudahkan ahli keluarga atau rakan memantau individu sedemikian.
Perlu juga disebarkan senarai talian hotline agensi kerajaan dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang menawarkan khidmat kaunseling bagi membantu seseorang yang menghadapi tekanan.
Pihak kedutaan dan konsulat juga perlu digalakkan untuk mempunyai talian hotline mereka sendiri, supaya pekerja asing boleh mendapatkan bantuan.
MOHIDEEN ABDUL KADER
Presiden Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP)