Cegah demam denggi sebelum terlambat - Utusan Malaysia

Cegah demam denggi sebelum terlambat

KERJA pembersihan perlu kerap dilakukan bagi mengelakkan wujud tempat pembiakan nyamuk Aedes. – GAMBAR HIASAN/UTUSAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SAUDARA PENGARANG,

MUSIM hujan sudah bermula. Ini bermakna risiko untuk seseorang dijangkiti demam denggi amat tinggi, lebih-lebih lagi jika alpa dalam hal berkaitan kebersihan.

Menurut laman web Hospital Columbia, demam denggi ialah penyakit berpunca daripada virus yang disebarkan melalui gigitan nyamuk Aedes. Ia boleh berlaku pada tahap ringan hingga teruk.

Dalam keadaan teruk (severe dengue), ia berisiko menyebabkan kematian. Sebab itu, jika demam, penting untuk mengetahui sama ada anda menghidap demam denggi atau tidak. Ini adalah lebih penting jika anda tinggal di kawasan banyak kes demam denggi.

Demam denggi bukanlah penyakit biasa, sebaliknya boleh meragut nyawa sekiranya terlambat mendapatkan rawatan.

Seperti yang diketahui umum, tiada rawatan khusus untuk demam denggi. Ketika dalam rawatan, amat penting untuk minum sebanyak dua hingga tiga liter air sehari.

Justeru, orang ramai diminta mengutamakan penjagaan kebersihan kawasan penginapan termasuk pembasmian tempat pembiakan nyamuk seperti memastikan tiada air bertakung, melindungi gigitan dengan menggunakan penghalau nyamuk, memakai pakaian berwarna terang, lengan panjang dan seluar panjang ketika berada di luar rumah, memasang skrin serangga di pintu dan tingkap serta menggunakan kelambu atau racun serangga.

Sekiranya terpaksa menadah air, pastikan tiada jentik-jentik boleh membiak dengan kerap menukar air di dalam bekas ataupun meletakkan ubat khas.

Pada masa sama, pastikan pasu-pasu yang tidak digunakan diterbalikkan bagi memastikan tiada air boleh bertakung.

Sekiranya kita bersama-sama mencegah penularan denggi, kita pasti berjaya mencipta persekitaran yang sihat di sesebuah kawasan perumahan.

NAZRUN
Melaka

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN