Buka masjid sepanjang PKPB - Utusan Malaysia

Buka masjid sepanjang PKPB

PENUTUPAN masjid dalam tempoh PKPB perlu diteliti semula. – GAMBAR HIASAN/UTUSAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SAUDARA PENGARANG,

BARU-BARU ini, satu program bicara khas, Wacana Al-Quran anjuran sebuah syarikat akhbar membawa satu perbincangan positif dan membuka mata semua pihak agar meneliti semula arahan penutupan masjid dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB).

Hasil maklum balas yang diterima oleh ahli panel mendapati, umat Islam di negeri-negeri yang masjid dan surau ditutup sepanjang PKPB merungut kerana ada negeri lain membenarkan rumah ibadat terbabit dibuka dengan syarat-syarat tertentu.

Perbezaan peraturan sedemikian adalah kerana hal ehwal agama Islam tertakluk di bawah bidang kuasa negeri masing-masing.

Kita sedia maklum, tujuan penutupan masjid dan surau ialah berasaskan kepada prinsip agama iaitu tuntutan memelihara nyawa manusia. Ini kerana ajaran Islam amat menekankan aspek penjagaan dan persediaan untuk menghindari segala kemudaratan daripada berlaku.

Bagi mengelak penyebaran virus lebih meluas dalam kalangan jemaah masjid dan surau, maka pihak berkuasa agama terpaksa mengambil langkah menutup secara menyeluruh aktiviti rumah ibadat terbabit.

Bagaimanapun, setelah tempoh hampir lapan bulan berhadapan dengan situasi ini, kita melihat kerajaan, kementerian dan agensi-agensi yang terlibat berusaha bersungguh-sungguh mengatasi masalah ini.

Antaranya, diwujudkan gaya hidup baharu dengan memperkenalkan prosedur operasi standard (SOP) yang perlu dipatuhi oleh masyarakat. Kewajipan pemakaian pelitup muka, penjarakan fizikal, pemeriksaan suhu badan dan pengimbasan kod aplikasi pintar MySejahtera menjadi budaya baharu masyarakat. Sepanjang tempoh berkenaan, semua pihak sama ada pekerja, majikan, pengusaha kedai atau pentadbir masjid dididik supaya mematuhi SOP.

Oleh itu, pihak pengurusan masjid tidak perlu lagi bimbang kerana pengalaman selama lapan bulan ini telah membiasakan umat Islam dengan gaya hidup baharu berkenaan.

Keadaan ini sama seperti di tempat tumpuan pengunjung lain iaitu restoran, pusat beli-belah dan sebagainya dengan mengambil langkah kawalan kendiri termasuk memakai pelitup muka.

Sekiranya tempat lain yang dikunjungi orang ramai boleh dikawal berpandukan SOP, kenapa tidak bagi masjid dan surau untuk dikawal dengan langkah sama?

Oleh yang demikian, saya berpandangan, amat wajar pihak berkuasa dan autoriti agama negeri meneliti semula penutupan masjid dalam tempoh PKPB.

Seperti dijelaskan di atas, kita masih mempunyai pelbagai kaedah dan langkah pengawalan risiko kebolehjangkitan berdasarkan SOP yang telah ditetapkan. Ini termasuk melalui teknologi aplikasi pintar MySejahtera untuk mengenal pasti pengunjung sesuatu tempat dan kontak rapat.

Yang pasti, fungsi masjid sentiasa ‘hidup’ dan boleh diimarahkan bersesuaian dengan norma baharu pada hari ini. Bukan hanya sepi melainkan azan sahaja berkumandang.

MUHAMMAD FUAD HUSIN
Bekas Pegawai Penyelaras Pentadbiran Masjid (PPMD) Daerah Padang Terap, Kedah

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN