Sekarang ini, sudah jadi trend. Tak kira hari minggu atau hari bekerja, ada saja kelibat orang berbasikal di jalan raya. Berseorangan atau berkumpulan.
Tak tahulah sama ada berbasikal untuk sihat atau niat lebih kepada menunjuk-nunjuk dalam media sosial. Tapi apa pun niat, faktor keselamatan diri dan orang lain patut diutamakan. Ini sama sekali tidak boleh dikompromi.
Kata seorang rakan yang memang sudah lama aktif berbasikal, yang suka memuat naik dalam Instagram dan Facebook itu baru berjinak dengan aktiviti itu. Dia mengelarkan golongan ini newbie. Mereka ini lah katanya, yang main redah saja tak kira jalan besar atau lebuh raya asalkan dapat berkumpul dan bergambar. Betulkah?
Soal menayang, saya tak mahu komen. Tapi yang ingin saya tekankan di sini kalau hendak sihat dan menunjuk dalam media sosial pun janganlah membahayakan diri sendiri dan orang lain. Berbasikal biarlah di tempat yang disediakan atau di kawasan sesuai. Bukan di jalan yang sibuk. Masa kita hendak pergi kerja, masa itulah juga dia sibuk dengan aktiviti kayuhan.
Pemandu lain pula perlu mengelak, memperlahankan kenderaan dan memberi laluan kepada mereka. Risau, bila sudah terlanggar, dua-dua pihak mendapat susah. Pemandu pula pasti dipersalahkan. Dituduh laju. Lepas itu tularlah dalam media sosial. Habis keluar semua cerita sedih. Isteri sedang sarat hamil sembilan bulanlah, baru lahir anak pertamalah, mahu pergi beli susu anaklah, tak sempat menjamah masakan ibulah, macam-macam cerita untuk menarik simpati.
Sedangkan dia sendiri mengundang bahaya, menunggang di jalan yang sibuk. Mungkin ada yang tidak takut disaman. Iyalah basikal pun menghampiri harga sebuah kereta dan sut yang dipakai memang tahap `kayangan’. Apalah sangat nak bayar saman RM1,000. Sama saja kadarnya dengan saman langgar SOP Covid-19. Untuk pengetahuan, berbasikal di lebuh raya boleh didenda hingga RM1,000 atau penjara tidak melebihi tiga bulan atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan. Sepanjang Januari hingga Oktober tahun ini seramai 137 penunggang terlibat dalam kemalangan jalan raya di negara ini melalui aktiviti berbasikal dengan 56 kematian, 18 cedera parah dan 63 cedera ringan.
Di tempat saya, di pusat bandar Shah Alam, memang ada laluan khas berbasikal. Dari dulu lagi sudah ada. Bukan murah kos kerajaan negeri buat laluan berbasikal ini pada ketika itu.
Dulu lagi, saya sudah biasa melihat kumpulan berbasikal ini. Tapi mereka berbasikal di laluan khas itu. Pada waktu petang atau malam. Jadi saya agak `termakan’ kata rakan saya itu, yang tidak ikut laluan ini mereka yang newbie. Kadang-kadang bawa satu keluarga berderet, isteri dan anak-anak. Kalau terlanggar satu keluarga, tak ke haru?
Bawa keluarga beriadah pun kena lah pastikan keselamatan semua. Jangan nak tunjuk berani atau hebat di depan anak-anak. Membawa mereka di jalan yang sibuk, ini memang sengaja mencari pasal.
Pernah saya memandu di bulatan berhampiran Masjid Negeri Shah Alam, pada waktu malam. Tiba-tiba seorang penunggang basikal entah dari mana datangnya, muncul memotong kereta saya yang hendak masuk simpang. Kalau saya laju sedikit, pasti terlanggar. Adakah sebab dia menunggang basikal dia ini kalis undang-undang?
Begitu juga bab meletak basikal. Ada yang sanggup bawa basikal masuk dalam kedai atau restoran! Parking kereta pun dah jadi parking basikal. Memanglah sukan ini, sukan yang serba santai, tapi pemikiran janganlah sampai santai sebegitu. Asal boleh saja hendak letak basikal di mana-mana. Fikir juga pemilik kenderaan lain.
Saya bukan anti kepada penunggang basikal. Tidak. Tiada siapa mahu menghalang aktiviti sihat. Tetapi agak-agaklah. Apa saja perbuatan dan tindakan, jangan memudaratkan dan menyusahkan orang lain. Itu standard.
Menurut Kementerian Kesihatan, berbasikal akan mengeluarkan hormon endorphin sekali gus mengusir keluar segala perasaan negatif terutama stress yang ada dalam diri. Perembesan keluar endorphin bukan hanya memperbaiki mood dan mengawal keseimbangan hormon individu bahkan menjadikan lebih positif dalam menjalani kehidupan. Ya, ini semua baik.Tetapi memberi stress pada orang lain, itu yang tidak baik.
Macam kata kawan baik saya, – “Dia orang ini tak bayar cukai jalan tetapi menyusahkan orang lain yang bayar cukai jalan.” Apa pun, utamakan keselamatan. Itu saja. – Ahad dah ke? Mingguan Malaysia
Berbasikal? Jangan main redah saja …
- Oleh Fauziah Md Arof
- 20 Disember 2020, 1:42 pm
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
BERITA BERKAITAN
The Pocket Rocketman raih emas dan perak di Melbourne
17 Disember 2022, 9:44 pm
Berjimat cermat saja jalan selesai?
14 Ogos 2022, 10:07 am
Apabila guru ‘telan’ saja perangai ibu bapa
7 Ogos 2022, 7:53 am