Benarkan M40 tebus cuti - Utusan Malaysia

Benarkan M40 tebus cuti

RAKYAT termasuk penjawat awam dalam kategori M40 tidak mendapat banyak faedah daripada pembentangan Belanjawan 2021. – IHSAN JPA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SAUDARA PENGARANG,

SAYA ingin mengutarakan cadangan lebih relevan dengan polemik yang menimpa golongan berpendapatan pertengahan (M40) yang dikatakan tidak mendapat banyak faedah daripada pembentangan Belanjawan 2021, November lalu.

Golongan M40 tidak diberikan insentif berupa bayaran tunai seperti yang diterima golongan berpendapatan rendah (B40). Golongan itu hanya diberikan insentif pengurangan cukai sebanyak satu peratus bagi yang berpendapatan RM50,000 hingga RM70,000 setahun.

Kepada yang masih mencarum Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP), dikurangkan caruman daripada 11 kepada sembilan peratus sahaja bagi membantu golongan M40. Insentif sebegini seolah-olah tidak adil kerana ada dalam kalangan M40 tidak mencarum KWSP kerana berstatus pencen.

Dari sudut moratorium pula, golongan M40 boleh memohon dengan institusi kewangan bagi mendapatkan pengurangan ansuran bulanan sahaja dan bukan secara automatik. Tiada bantuan tunai diberikan sedangkan mereka amat memerlukannya untuk meneruskan kelangsungan hidup.

Justeru, alternatif yang ingin dicadangkan untuk menyelesaikan kemelut ini adalah dengan penebusan Ganti Cuti Rehat (GCR) 75 hari bagi penjawat awam.

Pemberian insentif ini amat membantu golongan M40 dalam menguruskan perbelanjaan harian mereka. Insentif ini juga sebagai penghargaan kepada penjawat awam yang berkhidmat melebihi 15 tahun.

Cadangan penebusan GCR hari sepertimana diumumkan ketika pembentangan Belanjawan 2020 pada 11 Oktober 2019 sepatutnya dibayar awal Januari lalu tetapi belum dilaksanakan.

Beberapa kajian dibuat dan proses pindaan Peraturan Pencen 1980 bagi membolehkan penebusan awal GCR sepatutnya telah selesai.

Saya difahamkan, kelewatan berpunca daripada kerajaan memutuskan untuk mengkaji semula cadangan penebusan awal GCR hari ketika dalam perkhidmatan kerana dikatakan tidak menguntungkan penjawat awam.

Jumlah yang diterima menerusi penebusan awal semasa dalam perkhidmatan adalah jauh lebih rendah berbanding semasa bersara kerana gaji akhir diterima ketika itu lebih tinggi.

Sebagai contoh, sekiranya seorang pegawai bergred M54 menebus GCR ini apabila bersara penuh, mereka akan mendapat sejumlah RM55,107.90.

Tetapi kalau menebus dalam masa perkhidmatan dengan mengambil 75 hari, mereka mendapat RM15,355.05 dan apabila bersara, dapat lagi RM27,553.95. Jumlahnya hanya RM42,909 berbanding kalau mereka ambil ketika bersara penuh.

GCR adalah faedah persaraan yang dibayar kepada pegawai apabila bersara pilihan, bersara wajib atau meninggal dunia ketika dalam perkhidmatan.

Pemberian pencen, ganjaran dan GCR apabila penjawat awam bersara adalah penghargaan kerajaan atas sumbangan bakti sepanjang perkhidmatan dan sumber pendapatan kepada pegawai dan keluarga.

Kerajaan perlu prihatin terhadap masalah rakyat dan keluh-kesah hati nurani masyarakat yang terkesan ekoran pandemik Covid-19. Lakukan terbaik dan rakyat akan menyokong kerajaan yang prihatin.

ABRAH MANBIE
Ayer Keroh, Melaka

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya