SAUDARA PENGARANG,
MELALUI ruangan ini, saya ingin meluahkan rasa dukacita berhubung tindakan kerajaan Kedah meluluskan permit kepada sebuah syarikat tempatan untuk menjalankan kerja-kerja penerokaan mineral unsur nadir bumi (REE) bernilai kira-kira RM62 bilion di negeri itu.
Keputusan tersebut bukan saja menimbulkan rasa tidak puas dalam kalangan penduduk tetapi juga aktivis alam sekitar yang bimbang hutan bakal musnah dan sumber bekalan air akan terjejas.
Kerajaan Kedah sewajarnya memikirkan soal kesejahteraan rakyat sebelum melaksanakan sesuatu projek pembangunan. Saya percaya jika projek penerokaan mineral ini diteruskan, kesusahan hidup rakyat di negeri itu bagaikan sudah jatuh ditimpa tangga.
Masalah bekalan air yang semakin meruncing dihadapi oleh sebahagian besar penduduk luar bandar perlu diberi perhatian serius dan diambil tindakan segera bagi menanganinya.
Rintihan penoreh getah, keluhan petani dan nelayan dan suara memohon simpati daripada anak-anak muda yang masih menganggur perlu didengar. Golongan ini kini bukan hendak meraih kekayaan tetapi sekadar mencari nafkah cukup makan untuk menyara kehidupan.
Jika projek penerokaan mineral ini menjadi kenyataan, masyarakat luar bandar di negeri itu yang sebahagian besarnya bergantung hidup kepada sektor pertanian akan terjejas. Diharapkan projek penerokaan REE di Kedah dibatalkan.
ZULKIFLI YUSUF
Bayan Baru, Pulau Pinang