Bantu pulih industri pelancongan domestik - Utusan Malaysia

Bantu pulih industri pelancongan domestik

SEMUA taman eko-rimba (TER), hutan taman negeri (HTN) dan kawasan pendakian dalam Hutan Simpan Kekal (HSK) ditutup sementara di Kedah.-SEKADAR GAMBAR HIASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SAUDARA PENGARANG,

PENGUMUMAN kerajaan membenarkan semula aktiviti merentas negeri bukan sahaja boleh digunakan oleh orang ramai untuk pulang ke kampung halaman, malah dilihat sebagai langkah untuk merancakkan semula sektor pelancongan domestik.

Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Datuk Seri Nancy Shukri pada April lalu menganggarkan industri pelancongan dan kebudayaan negara mengalami kerugian sekitar RM45 bilion dalam tempoh enam bulan pertama tahun ini akibat pandemik Covid-19.

Seperti yang diketahui umum sejak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) pada Mac lalu, sektor pelancongan negara mengalami kemerosotan yang teruk sehingga memaksa banyak hotel dan agensi pelancongan ‘tutup kedai’, sekali gus menyebabkan ramai kehilangan pekerjaan.

Ini kerana sepanjang tempoh PKP dan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB), operator hotel dan agensi pelancongan tidak mampu menanggung kos operasi termasuk gaji pekerja.

Peruntukan untuk industri pelancongan dalam Belanjawan 2021 juga dilihat tidak mampu memulihkan sektor itu yang terjejas teruk akibat pandemik berkenaan kerana ia lebih bersasar dengan memberi keutamaan kepada industri penerbangan.

Oleh itu, orang ramai diminta menggunakan sebaik mungkin kelonggaran yang diberikan kerajaan untuk membantu meningkatkan semua industri pelancongan dengan mengambil peluang bercuti bersama rakan atau ahli keluarga di dalam negara terutama di negeri atau kawasan zon hijau.

Sudahlah Malaysia kehilangan kehadiran pelancong asing, justeru mengapa tidak kita sebagai rakyat membantu memulihkan kembali sektor pelancongan dengan bercuti di dalam negara.
Malaysia menawarkan pelbagai pilihan untuk bercuti seperti pulau, hutan, kampung mahupun bandar untuk orang ramai berehat seketika dari bebanan kerja.

Walaupun mungkin masih ramai yang was-was untuk menghabiskan cuti tahunan dengan mengunjungi tempat peranginan kerana Covid-19 yang masih lagi menular di dalam negara, namun saya percaya pihak hotel, restoran dan tempat tumpuan pelancong akan mematuhi prosedur operasi standard (SOP) untuk mengekang penularan pandemik tersebut.

Dalam masa sama, kawalan kebersihan kendiri turut perlu diutamakan dengan kerap membersih tangan dan menjaga penjarakan fizikal.

ZARINA
Kuala Lumpur

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya