Bantah swasta perkhidmatan pembetungan - Utusan Malaysia

Bantah swasta perkhidmatan pembetungan

Gambar hiasan – IHSAN IWK
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SAUDARA PENGARANG,

TINDAKAN Kementerian Kewangan menjemput sebuah syarikat swasta untuk membeli Indah Water Konsortium (IWK) Sdn. Bhd. adalah contoh ketara pendekatan mengurangkan kos dan menswastakan keuntungan.

IWK yang dimiliki oleh Menteri Kewangan Diperbadankan ialah syarikat pembetungan nasional yang diamanahkan dengan tugas untuk membangun dan menyelenggara sistem pembetungan moden dan efisien untuk rakyat.

Pada 1994, Kerajaan Persekutuan menganugerahkan konsesi kepada syarikat itu untuk mengambil alih perkhidmatan pembetungan di seluruh negara, di mana sebelum ini di bawah tanggungjawab pihak berkuasa tempatan (PBT).

Sejak itu, IWK mengambil alih perkhidmatan pembetungan daripada semua PBT kecuali Kelantan, Sabah, Sarawak, Majlis Bandaraya Johor Bahru dan Majlis Perbandaran Pasir Gudang.

Selama 27 tahun, cukai dan sokongan rakyat diberikan kepada IWK untuk membangunkan sistem pembetungan awam. IWK memastikan rakyat menikmati sistem pembetungan berkualiti yang melindungi alam sekitar kita. Kita menghargai dedikasi dan sumbangan para pekerja IWK kepada pembangunan negara.

Pada tahun lepas, kenaikan tarif IWK dicadangkan untuk mengurangkan defisit kewangan. Sekarang, Kementerian Kewangan ingin menjual IWK yang stabil dan kukuh kepada syarikat swasta. Jelas sekali, syarikat swasta terbabit akan mendapat keuntungan tetap dengan mudah daripada aset yang dibiayai oleh rakyat.

Sebelum ini, ada kerajaan negeri membuat permohonan untuk menggabungkan IWK dengan syarikat bekalan air negeri masing-masing. Kenapa Kementerian Kewangan enggan menyerahkan IWK kepada kerajaan negeri tetapi beria-ia untuk menjual kepada syarikat swasta?

SHARAN RAJ
Kuala Lumpur

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN