SAUDARA PENGARANG,
BERIKUTAN banjir besar yang melanda beberapa kawasan di seluruh negara baru-baru ini, kerajaan negeri-negeri terlibat terutama Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) dan pihak berkuasa tempatan (PBT) perlu mengenal pasti punca berlakunya bencana itu.
Kejadian tersebut bukan sahaja menjejaskan kehidupan penduduk tetapi juga merosakkan pelbagai jenis tanaman diusahakan termasuk padi yang menjadi sumber makanan utama rakyat.
Di Kedah, Perak, Kelantan dan Johor misalnya, ribuan hektar kawasan pertanian musnah dengan kerugian jutaan ringgit dialami pesawah dan peladang.
Hujan dengan jumlah ‘luar biasa’ tidak harus dijadikan faktor utama masalah banjir ini kerana terdapat dakwaan daripada penduduk, ia turut berpunca daripada limpahan air sungai dan masalah sistem saliran tidak sempurna.
Terdapat beberapa faktor lain yang menyumbang kepada masalah ini. Antaranya, kemusnahan hutan yang semakin berleluasa, kepesatan pelaksanaan projek pembangunan, aktiviti penambakan laut dan mengorek pasir.
Sungai dan sistem saliran kini semakin cetek akibat mendapan sisa lumpur terhakis dari kawasan tanah tinggi yang diteroka dan tapak projek pembangunan. Keadaan itu menyebabkan berlakunya limpahan air ketika hujan menerjah ke rumah penduduk dan kawasan pertanian.
Kerajaan perlu mengkaji terlebih dahulu sebelum meluluskan sebarang projek pembangunan agar ia tidak mengancam alam sekitar dan kehidupan penduduk. Pada masa sama, penguatkuasaan undang-undang hendaklah dilaksanakan dengan tegas.
Rakyat akan menghadapi situasi meruncing pada masa akan datang jika masalah banjir dibiarkan berterusan. Lebih banyak tanaman akan musnah sekali gus mengancam sumber pendapatan petani dan peladang termasuk sektor pertanian negara.
Malaysia bukan sahaja terpaksa mengimport lebih banyak bekalan makanan pada masa akan datang tetapi juga menanggung beban hutang yang meningkat.
SUARA ANAK DESA
Pulau Pinang