SAUDARA PENGARANG,
SEBELUM pandemik Covid-19 menyerang, aplikasi sidang video, Zoom digunakan kebanyakan syarikat perniagaan untuk menggantikan mesyuarat lembaga pengarah secara fizikal.
Sekarang, orang ramai menggunakannya untuk berbual dengan rakan dan keluarga atau sambutan ulang tahun. Ia juga alternatif utama bagi yang bekerja dari rumah untuk mengadakan mesyuarat secara dalam talian.
Ketika kita sedang menyaksikan ledakan penggunaan aplikasi ini, pakar kesihatan mental memberi amaran, masalah lain mungkin timbul iaitu ‘keletihan Zoom.’ Walaupun nama Zoom digunakan, ia merujuk kepada semua aplikasi sidang video. Namun, Zoom mendapat label kerana ia adalah alat sidang video paling popular pada saat ini bagi kebanyakan orang.
Masalah ini merujuk keletihan mental yang berkaitan penggunaan sidang video dalam talian. Ia juga boleh digambarkan sebagai perasaan letih, cemas, lelah atau bimbang dengan panggilan video.
Pendek kata, berinteraksi dengan orang lain melalui skrin menyebabkan otak kita bekerja lebih keras. Oleh kerana perlu berinteraksi dengan lebih daripada seorang pengguna sekali gus dalam paparan galeri aplikasi tersebut, kita cenderung untuk bimbang bagaimana bercakap atau kelihatan menyebabkan kita rasa cemas atau risau sepanjang masa.
Sesungguhnya, tindakan itu memerlukan kita untuk lebih fokus dan menggunakan tenaga mental yang tinggi berbanding pertemuan secara semuka. Setiap kali ingin memutuskan hubungan mata dengan skrin, kita khuatir dilihat tidak memberikan perhatian penuh pada sidang video tersebut.
Oleh itu, mata tertumpu kepada skrin sepanjang waktu, menganggukkan kepala dengan kerap dan memberi isyarat bukan lisan lain sebagai tanda kita ‘ada’. Sidang video ini sangat melelahkan.
Dari segi personaliti, pakar percaya ‘keletihan Zoom’ mempengaruhi jenis personaliti yang berbeza dengan cara berlainan. Bagi golongan ekstrovert, mereka mungkin menjadualkan lebih banyak sidang video daripada biasa menyebabkan berasa letih dan lemas.
Sementara itu bagi golongan introvert, mereka mungkin terlalu fokus pada bagaimana mereka kelihatan dalam pertemuan Zoom. Kadangkala, mereka menganggap sidang video itu sebagai sebuah ‘neraka’.
Namun tidak kiralah apa pun personaliti anda, penyakit ‘keletihan Zoom’ ini boleh menjadi teruk dan sangat berbahaya kepada sesiapa sahaja.
Bagaimana kita dapat mengurangkan ‘keletihan Zoom’? Pakar mencadangkan kita membataskan panggilan video kepada yang diperlukan sahaja. Sebaliknya, gunakan cara komunikasi lain seperti pesanan teks, e-mel dan panggilan telefon.
Satu penyelidikan menunjukkan semasa panggilan suara sahaja dilakukan, pengguna menyampaikan beberapa maklumat dengan lebih tepat berbanding sidang video.
Dalam pada itu, sangat penting bagi kita untuk mendapatkan masa rehat antara sidang video seperti melakukan senaman ringkas atau melayari rancangan kegemaran Netflix agar kita dapat menyegarkan diri semula.
NURAFIFAH MOHAMMAD SUHAIMI
Pembantu penyelidik di EMIR Research