SAUDARA PENGARANG,
SAYA terkedu seketika apabila rata-rata anak muda terutama pelajar di institusi pengajian tinggi tidak peka dengan isu semasa yang berlaku di dalam dan luar negara.
Malah, mereka juga tiada inisiatif untuk mengambil tahu mengenai perkara tersebut, sedangkan isu semasa antara topik yang akan dibincangkan ketika pengajian.
Saya juga menyedari ramai mahasiswa kurang berminat untuk membaca akhbar dan menonton berita sebaliknya lebih tertarik bermain aplikasi di telefon pintar yang tidak mendatangkan faedah.
Malah, aktiviti kurang sihat itu menyebabkan mereka mudah terpengaruh dengan budaya barat sekali gus menyebabkan pelajar lalai terhadap pengajian.
Perkara tersebut amat ketara apabila masih terdapat segelintir mahasiswa yang tidak mengetahui mengenai isu semasa yang berlaku di dalam negara termasuk pergolakan politik, sekatan jalan raya akibat Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) dan lain-lain.
Jika berterusan dikhuatiri mahasiswa pada hari ini tidak berkualiti dan boleh menjejaskan pembangunan negara pada masa akan datang.
ZURINA
Ipoh