SAUDARA PENGARANG,
KES jangkitan virus Covid-19 dalam skala besar dan serius di penjara serta pusat tahanan pendatang asing tanpa izin (PATI) baru-baru ini boleh berulang sekiranya tiada langkah proaktif diambil.
Dengan jumlah tahanan yang ramai, bersesak-sesak serta persekitaran tertutup, risiko berlaku penularan virus Covid-19 adalah tinggi. Keadaan akan menjadi lebih serius sekiranya tiada bantuan perubatan mencukupi disediakan untuk mereka yang berada di dalam penjara dan pusat tahanan.
Antara langkah proaktif boleh diambil adalah mengurangkan jumlah banduan dan PATI di dalam penjara dan pusat tahanan.
Caranya, membebaskan banduan tidak melakukan kesalahan serius, tahanan tidak membawa risiko keselamatan kepada negara dan rakyat serta individu yang sangat berisiko diserang Covid-19 iaitu tahanan warga tua dan yang mempunyai penyakit kronik.
Langkah ini perlu dibuat dengan berhati-hati bagi mengelak sebarang ketidakpuasan hati dalam kalangan masyarakat dan tidak berlaku pelanggaran peruntukan undang-undang sedia ada.
Pada masa sama, jumlah banduan dapat dikurangkan jika hakim boleh memberi pertimbangan untuk mengenakan hukuman lain selain menghantar pesalah ke dalam penjara.
Boleh juga dilaksanakan sistem parol sepenuhnya untuk pesalah tertentu bagi mengurangkan jumlah kesesakan dalam penjara.
DR. MUZAFFAR SYAH MALLOW
Universiti Sains Islam Malaysia (USIM)
Negeri Sembilan