SAUDARA PENGARANG,
KEJADIAN banjir kilat yang berlaku di Kuala Lumpur pada September lalu bukan berpunca semata-mata jumlah hujan yang banyak. Sebaliknya turut disebabkan kegagalan sistem buatan manusia termasuk perparitan.
Secara jujurnya, ia berpunca kerana limpahan air dari sungai dan sistem perparitan yang cetek atau tersumbat akibat pembangunan tidak terkawal. Kita harus berwaspada kemungkinan besar banjir kilat akan melanda lagi kerana fasa peralihan monsun sekarang yang berlarutan sehingga awal November akan menyebabkan berlaku hujan lebat dan ribut petir pada lewat petang.
Oleh itu, sudah tiba masanya Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) dan Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) memastikan sungai dan longkang tidak tersumbat.
Orang ramai juga harus diingatkan supaya memainkan peranan penting dalam menangani banjir kilat dengan tidak membuang sampah ke dalam sistem saliran.
Sistem moden bagi meramalkan banjir kilat dan memberi amaran awal juga harus ditingkatkan dengan pengenalan teknologi radar dan pemodelan, asimilasi data dan sistem sokongan keputusan.
Belanda, misalnya, menggunakan teknologi tebatan banjir melalui data bersumberkan orang ramai. Sementara Sepanyol menggunakan alat visualisasi ramalan cuaca yang lebih baik seperti paparan dan animasi interaktif tiga dimensi (3D).
Tidak dapat dinafikan, teknologi memerlukan perbelanjaan besar. Sekiranya ia bermanfaat untuk membantu kita dalam mengurangkan banjir kilat dengan berkesan, maka kita mungkin harus mempertimbangkannya.
FARHAN KAMARULZAMAn
Pembantu penyelidik