SAUDARA PENGARANG,
JALAN Megah 37 di Taman Megah, Cheras, Selangor, menjadi laluan utama untuk penduduk ke pejabat dan pulang ke rumah bagi mengelakkan kesesakan di Lebuh Raya Batu 9. Namun, keadaan jalan raya di situ semakin hari semakin teruk dengan pelbagai kerosakan.
Tidak dinafikan terlalu banyak kerja pembinaan menyebabkan jalan itu juga menjadi laluan bagi kenderaan berat.
Pun begitu, jika ia tidak diselenggara dengan baik, boleh menyebabkan kemalangan terutama waktu malam dan hujan.
Apabila hujan, air akan bertakung pada lubang menyebabkan pengguna khususnya penunggang motosikal mudah terjatuh apabila tayar memasukinya. Siapakah yang akan menanggung kos bagi membaiki kerosakan motosikal termasuk jika rim bengkok? Lebih parah lagi jika ada penunggang yang meninggal dunia kerana motosikal terjatuh di dalam lubang.
Justeru, langkah-langkah meratakan jalan perlu dilakukan kerana laluan tersebut menjadi pilihan orang ramai. Elakkan setelah berlaku tragedi barulah kerja-kerja pembaikan hendak dibuat. Ketika itu, tindakan berkenaan sudah terlambat.
Berdekatan jalan itu juga terdapat projek penyelenggaraan perparitan yang tergendala sejak tahun lalu. Sehingga kini tidak pasti apakah status projek tersebut, namun ia mengganggu kenderaan kerana ‘memakan’ sebahagian laluan.
AZIRA
Cheras