"Rashid dah bawa Ferrari sekarang." - Utusan Malaysia

“Rashid dah bawa Ferrari sekarang.”

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

“Nanti dah kaya, boleh lah sarapan di Thai, makan tengah hari pula di Paris.” Itu kata seorang lelaki selang beberapa meja makan dari saya pada petang Ahad lalu di sebuah restoran mamak.
Di depannya pula, dua lelaki lain tengah khusyuk mendengar kata-katanya. Saya sebenarnya tak berminat langsung hendak pasang telinga mendengar cerita orang lain, tapi apa nak buat, terdengar juga sebab lelaki itu bercerita cukup kuat.
Sehinggakan saya berasa seperti berada dalam sesi ceramah pula, walhal saya cuma mahu minum teh tarik saja di situ sambil menunggu baju yang saya hantar di dobi berdekatan kering.
Dari Thai ke Paris untuk makan tengah hari? Ingat dekat-dekat macam Bangsar ke Chow Kit? Bukan main laju. Naik apa itu? Kata saya dalam hati. Sembang `tak agak-agak’ ini. Saya senyum sendiri.
Ya, saya pasti dia bercerita pasal pemasaran pelbagai tingkat (MLM) atau skim cepat kaya lain. Mana tidaknya, cerita pasal cari orang untuk masuk. Cari down line. Bila orang lain masuk, duit pun masuk. Senang cerita, tak ada duit yang keluar pun, semua cerita duit masuk saja daripada mulut lelaki itu.
Yang saya hairan, dua lelaki yang mendengar ceritanya seperti terpaku. Macam tak ada soalan. Menerima saja kata-kata si `penceramah’ itu. Sedangkan saya yang mendengar ini rasa nak angkat tangan saja, bertanyakan soalan. Macam-macam soalan bermain dalam kepala saya ketika itu.
Kemudian saya juga mendengar lelaki itu berkata, ramai yang menyertai kumpulan tersebut sudah pakai kereta mewah. “ Si Rashid tu, dah pakai Ferrari sekarang,” katanya.
Dalam ramai terjejas pendapatan ketika angka kes pandemik Covid-19 terus meningkat ini, tak mustahil ada yang terjebak menyertai skim-skim cepat kaya. Yang hairannya, ramai masih percaya bahawa kita semua boleh cepat kaya atau kaya cepat. Ramai masih mempercayai kekayaan boleh diperoleh dengan jalan mudah dan masa singkat!
Sedangkan sebelum ini, terlalu banyak pendedahan demi pendedahan dilakukan dalam media berhubung penipuan MLM dan skim cepat kaya. Kerugian pula membabitkan jutaan ringgit.
Seingat saya, skim cepat kaya di negara ini dipelopori oleh skim `Pak Man Telo’ , sekitar tahun 80-an. Semasa itu ramai terjebak dengan skim pelaburan ini. Ia membabitkan kira-kira 50,000 pelabur dengan nilai pelaburan mencecah sehingga RM99 juta. Dan berita mengenainya cukup panas ketika itu. Hakikatnya, yang perlu kita tahu bahawa mengambil deposit atau wang daripada orang ramai adalah satu kesalahan, jika tiada lesen.
Seorang rakan pernah bercerita kepada saya, dia pernah dipujuk masuk skim sebegitu. Mereka ini pandai berlakon mengadakan perjumpaan dengan memanggil kawan-kawan yang kononnya sudah berjaya. Semuanya membawa kereta mewah. Walhal bila diselidik kereta-kereta itu sebenarnya hanya disewa untuk meyakinkan orang ramai menyertai skim tersebut.
Ada yang menyewa ruang pejabat untuk meyakinkan bahawa organisasi mereka itu satu operasi yang bukan setakat perjumpaan di kedai makan. Mereka punya pejabat sendiri dan setiap perjumpaan diatur di situ.
Hakikatnya, berapa ramai yang sudah kaya dengan MLM dan skim cepat kaya? Kalau yang kaya pun tentu taukenya yang menipu duit orang ramai. Yang kena tipu pula, kaya dengan angan-angan sajalah.
Saya melihat dua lelaki yang mendengar itu kemudiannya mengisi borang. Tiba-tiba salah seorang bertanya, boleh bayar guna e-wallet tak? Si penceramah itu menjawab, transfer sajalah. Tergelak saya mendengarnya.
Kemudian dia terus bercerita tentang kesenangan dan kemewahan orang yang telah menyertai kumpulan tersebut. Katanya, kalau isteri atau anak-anak hendak apa-apa, pejam mata pun boleh beli tak perlu menunggu bonus atau kena simpan duit berbulan-bulan dulu.
Sedang asyik memasang telinga, ada panggilan dari telefon pintar saya. Saya pun leka sekejap melayan panggilan itu. Bila sudah habis berbual saya lihat tiga lelaki tersebut mahu beredar.
Yang buat saya terpaksa menahan diri agar tidak ketawa seorang diri di situ, bila melihat salah seorang `pendengar’ ceramah itu membayar makanan dan minuman mereka semua, bukan `si penceramah’ yang bercerita pasal hidup mewah tadi. Oh! Iyalah orang sudah bawa kereta Ferrari mana bawa duit tunai. Kedai mamak tak terima kad kredit. Bersangka baiklah. –Mingguan Malaysia.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya