SAUDARA PENGARANG,’
GELOMBANG ketiga Covid-19 yang melanda tanah air kita sekarang mendedahkan lebih banyak kisah menyayat hati. Ia tambahan kepada cerita-cerita sedih yang kita pernah dengar ketika dilaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) semasa gelombang pertama dan gelombang kedua.
Ketika itu, banyak kisah warga miskin yang kehilangan sumber pendapatan didedahkan. Terbuka mata banyak pihak. Tampil individu dan kumpulan yang secara sukarela menghulurkan bantuan.
Daripada menetap dalam bangsal, kandang haiwan dan pondok bocor, mereka mendapat pembelaan dengan diberikan tempat berteduh lebih selesa yang selayaknya dinikmati rakyat merdeka.
Pendakwah, Ebit Irawan Ibrahim Lew atau lebih dikenali sebagai Ustaz Ebit Lew adalah antara contoh yang memberikan bantuan.
Itu bagi golongan miskin tegar. Bagi kelompok berpendapatan rendah (B40), kesan emosi dan fizikal tetap dirasai. Namun, mereka masih boleh bernafas lega. Moratorium enam bulan, diskaun bil elektrik, pengurangan kos sewaan di premis milik kerajaan serta banyak inisiatif lain yang diambil.
Bagaimanapun, ketika gelombang ketiga kali ini, kesannya lebih terasa kerana banyak insentif oleh kerajaan sebelumnya tidak lagi dinikmati. Ditambah pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) dan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD).
Kesan Covid-19 kali ini memukul begitu keras sekali. Pergerakan disekat, sedangkan perut tidak lagi mampu diikat. Anak-anak ramai, rumah kecil dan jiran-jiran juga susah. Maka kita dipertontonkan dengan berita mengharukan apabila seorang pakcik etnik Bajau Laut yang dikenali Ladja, mendayung sampan laju-laju mengejar bot Pasukan PoIis Marin (PPM) di perairan Semporna, Sabah dengan ratap harapan untuk mendapatkan pembelaan dan sumbangan makanan.
“Tolong tuan, kami tiada makanan. Orang lain sudah dapat, kami belum. Kami terpaksa turun laut cari makanan. Kalau ada makanan, ndak (tidak) kami Ianggar undang-undang PKP tuan.”
Anggota PPM pun balik ke darat untuk mengambil barangan keperluan harian. Bila sampai ke kawasan penduduk, polis maklumkan mereka bawa makanan. Pakcik itu mendayung balik sambil menjerit: “Orang kampung, ada sudah makanan kita!”
Kejadian dirakamkan pada 25 Oktober lalu dan menjadi tular dalam media sosial dan Pakcik Ladja disifatkan pelbagai pihak sebagai hero yang patut dicontohi. Ia hanya satu daripada ribuan cerita keluh-kesah rakyat kesan Covid-19.
Oleh itu, marilah kita sama-sama bersolidariti untuk membantu kelompok terjejas ketika gelombang ketiga Covid-19. Ia adalah keutamaan yang melebihi keutamaan lain.
Tangguh dahulu projek-projek mega untuk memberikan tumpuan penuh terhadap pemulihan bukan sekadar ekonomi, malahan emosi dan fizikal majoriti rakyat yang benar-benar menghadapi kesulitan sekarang.
MUHAMAD HANAPI JAMALUDIN
Felow Penyelidik
Majlis Belia Malaysia (MBM)