Pitching lari sikit ... - Utusan Malaysia

Pitching lari sikit …

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Seorang rakan pemandu yang dikenali sebagai Spider San punya pengalaman memandu Grab penuh warna-warni. Maklumlah, dua tahun menjadi pemandu Grab sepenuh masa, setiap hari yang dilalui meski kadang-kadang perit, bertukar manis dan penuh memori apabila menempuhi episod kelakar.
Cerita Spider San dengan panjang lebar, sepanjang bergelar pemandu Grab, tidak pernah lagi dia berdepan dengan keadaan paling memalukan.
“Lepas menghantar penumpang di Bukit Tunku, aku mengemas kereta macam biasa. Aku taklah menjangka dapat Ping di kawasan ini sebab ia bukan dalam kategori hot spots untuk Grab.
“Tapi tak sangka juga bila ada Ping masuk pada pukul 6.45 petang d Hentian Duta. Setibanya di sana, seorang wanita yang umurnya lebih kurang sebaya aku masuk ke dalam kereta. Cantik orangnya.
“Lepas berbasa-basi memberi ucapan, aku pun menghala kereta ke Brickfields, lokasi penumpang,” ceritanya.
Dalam perjalanan ke sana, semuanya bergerak lancar sehinggalah tiba di Dataran Merdeka apabila laluan ke Jalan Kinabalu ditutup.
“Tujuan asal agaknya nak melancarkan perjalanan pengguna jalan raya tapi akhirnya yang jadi, jalan makin sesak. Anggaran perjalanan hanya 20 minit ke Brickfields bertambah menjadi 40 minit dengan tambang waktu itu RM17. Nak kata apa lagi? Pasrah sajalah. Aku tutup aplikasi pandu arah Google dan bertukar kepada Waze.
“Bagi aku, bila tersangkut dalam trafik yang teruk, aplikasi Waze lebih berkesan. Google ini aku anggap macam pemandu lelaki konvensional yang malu nak bertanya arah jalan. Waze pula seumpama versi perempuan yang selalu dan tak malu nak bertanya arah jalan dan pandai cari lorong-lorong tikus,” kata Spider San lagj.
Waze kemudian membawanya ke sebatang lorong. Terpaksalah dia memberi tumpuan sepenuhnya ke atas jalan tersebut sambil sesekali mata memandang Waze.
Tiba-tiba radio yang terpasang dari tadi memainkan lagu lama, Livin La Vida Loca nyanyian Ricky Martin.
“Lama betul tak dengar lagu popular bertahun dulu. Aku pun ikut menyanyi. Bila menghayati melodinya yang rancak tu, tak semena-mena badan aku bergerak menari sekali. Bila tiba korus lagu, aku menyanyi sekuat-kuat hati macam nak ‘tercabut tekak’ sambil menggoyang-goyangkan badan. Macam kena rasuk Ricky Martin kejap.
“Bila lagu dah habis, terasa diri aku ini Ricky Martin dan aku cakap, ‘thank you! thank you so much. Yes! Siap dengan pakej menjerit lagi. Kemudian mata aku tengok Waze yang menunjukkan dalam jarak 200 meter aku perlu membuat pusingan U susur ke kiri. Masa inilah baru aku terfikir, eh, aku nak ke mana ini? Kemudian zasss …baru aku teringat! Biru muka aku masa itu! Tiba-tiba aku rasa sejuk menggigil.
“Perlahan-lahan mata aku tengok cermin pandang belakang. Masa itu aku ternampak sesuatu yang paling menakutkan sekali dalam hidup. Penumpang yang duduk di belakang tengah tersengguk-sengguk bahunya sambil mukanya ditekup ke atas beg sandangnya.
“Aku nampak dengan jelas bahunya turun naik. Ketara sangat dia menahan ketawa. Astaga…aku rasa musnah hidup aku hari itu. Selama ini aku yang membawa imej sebagai pemandu Grab profesional yang macho hancur sekelip mata! Aku sempat meminta maaf padanya dan kata aku terlupa yang aku ada penumpang.
“Bila aku pandang lagi cermin belakang, dia masih menekup muka sedang ketawa.
“Setibanya di destinasi, dia sudah nampak bertenang sikit. Bila dia nak turun sekali lagi aku minta maaf dengan kejadian memalukan tadi.
“Nak tahu dia kata apa? It’s okay. Pitching lari sikit.
“Sumpah, itu pengalaman paling memalukan sepanjang jadi pemandu Grab. Taubat dah aku nak menyanyi kuat-kuat dalam kereta!”, kata Spider San.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya