Permudahkan lantikan peguam - Utusan Malaysia

Permudahkan lantikan peguam

MASIH ramai peguam baharu yang sedang menunggu giliran untuk sesi call to the bar. – GAMBAR HIASAN/YOUTUBE
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SAUDARA PENGARANG,

SEPERTI diketahui umum, Badan Kehakiman mengambil langkah proaktif dalam memastikan akses kepada keadilan untuk semua lapisan masyarakat agar dapat dikecapi, lebih-lebih lagi dalam situasi pandemik Covid-19. Badan itu baru-baru ini dilihat mengoptimumkan penggunaan teknologi di mahkamah, antaranya memperkenalkan perbicaraan dan pengurusan kes-kes secara dalam talian.

Namun begitu, terdapat beberapa perkara mendesak melibatkan pentadbiran yang mungkin Badan Kehakiman ‘terlepas pandang’. Salah satunya berhubung tatacara pelantikan peguam bela dan peguam cara baharu.

Ekoran peningkatan semula kes-kes Covid-19 sejak penghujung September lalu dan berlarutan sehingga kini, saya difahamkan terdapat kira-kira 350 orang bakal peguam yang telah menamatkan latihan dalam kamar (selama sembilan bulan) sedang menunggu giliran untuk sesi call to the bar (atau ringkasnya, long call) di seluruh Semenanjung.

Long call merupakan upacara di mana seseorang berkelayakan diterima masuk secara rasmi dan didaftarkan sebagai peguam bela dan peguam cara.

Dikhabarkan, masa menunggu giliran untuk long call kini sekitar tiga hingga empat bulan. Akibatnya, kebanyakan bakal peguam kini terpaksa mengikat perut ataupun jika bernasib baik hanya dikekalkan oleh pengajar (master) masing-masing sebagai paralegal dengan ganjaran tidak seberapa, memandangkan mereka belum mempunyai locus (hak) untuk mengendalikan kes-kes di mahkamah.

Selain itu, terdapat juga ratusan bakal peguam khususnya dari luar Lembah Klang yang tidak dapat atau menangguhkan urusan memfailkan kertas penerimaan masuk peguam iaitu Borang 6, 7 dan 8 ke dalam sistem Pejabat Pendaftaran, Bahagian Rayuan dan Kuasa-Kuasa Khas (RKKK), Mahkamah Tinggi Malaya Kuala Lumpur.

Hal ini kerana terdapat ketetapan bahawa setiap bakal peguam perlu hadir secara sendiri ke Bahagian RKKK bagi mendapatkan Sijil Penampalan (Ekshibit H bagi Borang 6) dan menyerahkan dokumen-dokumen asal seperti kad pengenalan, sijil kelahiran dan sijil-sijil akademik untuk diperiksa serta disahkan oleh mahkamah.

Kebanyakan mereka kini tidak dapat melakukan perjalanan ataupun mengambil risiko dari negeri masing-masing untuk ke ibu negara. Keadaan diburukkan lagi dengan larangan atau sekatan perjalanan ekoran Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB).

Sehubungan itu, saya mencadangkan badan kehakiman agar dapat menimbang langkah untuk menambah baik kaedah pengeluaran Borang Penampalan iaitu secara dalam talian melalui Sistem E-Filing Kehakiman kepada setiap bakal peguam yang telah memenuhi keperluan latihan dalam kamar.

Bagi pengesahan dokumen asal pula, disyorkan dijalankan di pejabat Timbalan Pendaftar atau Penolong Kanan Pendaftar di setiap cawangan Mahkamah Tinggi Malaya, tanpa perlu hadir ke Bahagian RKKK seperti sebelum ini.

Pihak pejabat pendaftaran terbabit kemudiannya boleh memasukkan data pengesahan (untuk Sijl Pengesahan Dokumen) ke dalam sistem pendaftaran berpusat atau Sistem E-Filing Kehakiman.
Usaha ini dilihat lebih berkesan memandangkan selain dapat menjimatkan kos, masa dan tenaga, ia juga boleh mengurangkan risiko penularan Covid-19.

Malah, masalah backlog dari segi giliran menunggu untuk sesi long call dalam kalangan bakal peguam di setiap mahkamah turut dapat dikurangkan.

DAH CHAMBERING
Alor Setar, Kedah

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya